BeritaJenayah

10 tahun penjara, sebatan untuk ahli perniagaan yang merompak jurutera

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan oleh mahkamah sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merompak seorang jurutera, yang menyebabkan kerugian lebih RM190,000 kepada mangsa bulan lalu.

Hakim Egusra Ali menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Nur Muhd Rusydi Abdul Raman, 32, dan memerintahkan ia dijalani mulai tarikh tangkapan, iaitu pada 29 Okt.

Rusydi dan seorang lagi individu yang masih bebas didakwa bersama-sama merompak Hafidz Ismail, 43, dengan mengambil barangan berharga termasuk telefon bimbit iPhone 15 Plus dan wang tunai RM9,000 ketika bersenjatakan mesin pemotong rumput.

Kesalahan tersebut dilakukan di sebuah rumah di Presint 16, Putrajaya pada jam 3 pagi, 27 Okt.

Pertuduhan difailkan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Timbalan pendakwa raya Nor Aisyah Zanyuin hadir bagi pihak pendakwaan manakala Rusydi tidak diwakili peguam.

Di mahkamah yang sama, rakan Rusydi, Ezwan Kamaruzaman, 32, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang sama, manakala seorang lagi rakan, Abdul Rahman Abdullah, 35, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki barang curi.

Kesalahan di bawah Seksyen 412 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di Jalan Kampung Laksamana, Batu Caves, Gombak pada jam 4.30 petang, 29 Okt.

Kedua-duanya, yang diwakili peguam Nurul Diyana Basher, dibenarkan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan dua penjamin. Mereka juga diperintahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis sebulan sekali sementara menunggu penyelesaian kes mereka.

Egusra menetapkan 6 Dis sebagai tarikh sebutan kes mereka.

Artikel Berkaitan

Back to top button