Sukan

100 gol bukan sasaran JDT

Sebaliknya, kemenangan dalam setiap perlawanan yang jadi keutamaan.

KUALA LUMPUR 24 Nov. – Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak meletak sasaran untuk melengkapkan jaringan 100 gol bagi mengakhiri saingan Liga Super pada musim ini.

Ketua Jurulatih JDT berkata, Esteban Solari, pihaknya tidak meletakkan sasaran itu ketika berbaki dua lagi perlawanan yang perlu diharungi.

Menurutnya, apa yang diutamakan adalah mencipta kemenangan dalam setiap perlawanan sama ada saingan liga, Piala FA dan Piala Malaysia.

“Malah apa yang diutamakan sudah pasti mempamerkan aksi terbaik dalam setiap aksi yang kami hadapi dan jika mereka mampu jaringkan 100 gol atau 1,000 gol sudah tentu saya amat gembira tapi dalam permainan bola sepak kita harus konsisten dalam setiap perlawanan.

“Saya juga tidak pernah menyatakan kepada pemain yang kita perlu jaring kuantiti yang banyak, sebaliknya saya tekankan untuk mereka menjadi yang terbaik apabila beraksi di padang dengan sentiasa beraksi mengikut strategi dan taktikal yang dibentuk,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas JDT menang 2-0 ke atas Kuching City FC pada aksi liga di Stadium Sultan Ibrahim di sini pada malam Khamis.

Selepas mengharungi 24 perlawanan, JDT kini sudah menjaringkan 90 gol dan hanya perlu 10 gol lagi untuk ke angka 100 gol ketika aksi menentang Sri Pahang FC pada 3 Disember ini.

Aksi terakhir menentang Penang FC pada 16 Disember ini bakal menjadi penentu sama ada skuad kendalian Solari mampu mencipta rekod jaringan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Mengenai kemenangan JDT, Esteben berkata, banyak peluang untuk mencipta jaringan selepas 20 percubaan tepat ke arah gol dilakukan barisan serangan JDT.

Pengendali kelahiran Argentina itu berkata, JDT mampu menang 4-0 atau 5-0 namun tetap akur dan berpuas hati dengan persembahan anak buahnya malam tadi terutama pemain muda seperti Daryl Sham (KK George).

“Untuk aksi seterusnya, kami perlu segera perbaiki kelemahan sebelum berdepan Kawasaki Frontale dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) di tempat lawan dan beberapa pemain yang saya rehatkan akan kembali menjalani latihan,” katanya. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button