Berita

100,000 pengunjung dijangka meriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya

Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan kerjasama pelbagai agensi dan jabatan sedang giat membuat persiapan logistik untuk kemudahan 100,000 pengunjung yang dijangka hadir memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini.

Jurutera PPj, Faridz Amli Shaharudin, berkata kemudahan disediakan termasuk 8,000 tempat duduk untuk orang ramai yang akan dibuka seawal jam 5 pagi pada hari acara.

Beliau berkata, kemudahan lain ialah 200 tandas awam, lima surau sementara, dua surau bergerak, 18 khemah perubatan, lebih 40 tapak trak makanan serta 14 skrin LED di sepanjang laluan perbarisan sejauh 2.1 kilometer dari tapak berkumpul hingga Dataran Masjid Putra.

“Bagi memudahkan kehadiran pengunjung, PPj menyediakan pengangkutan percuma, termasuk 80 bas ulang-alik bermula seawal jam 4 pagi dari tiga lokasi utama, iaitu Putrajaya Sentral, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan di sekitar Bulatan Putrajaya, selain enam teksi air dan tiga Cruise Tasik Putrajaya,” katanya dalam temu bual dengan Bernama Radio, hari ini.

Secara keseluruhan, Faridz Amli berkata, persiapan setakat ini mencapai 70 peratus yang dilaksanakan oleh 17 jawatankuasa kerja membabitkan pelbagai agensi bagi memastikan semua aspek teknikal, logistik dan keselamatan berjalan lancar.

“Setakat ini, pemasangan Royal Box serta 1,400 tempat duduk individu kenamaan pula sudah mencapai hampir 80 peratus,” katanya.

Katanya, sesi raptai awal sambutan akan diadakan bermula 26 Ogos ini, manakala raptai penuh dijadualkan pada 29 Ogos dan boleh disaksikan oleh orang ramai.

Beliau turut mengingatkan pengunjung agar mematuhi peraturan keselamatan, menjaga kebersihan dan membawa kelengkapan seperti payung atau baju hujan memandangkan acara berlangsung di kawasan terbuka.

Katanya, sambutan Hari Kebangsaan kali ini akan turut dimeriahkan dengan program prasambutan, Riuh Merdeka, selama 30 jam bermula jam 12 tengah hari 30 Ogos ini di kawasan Monumen Alaf Baru yang menampilkan aktiviti menarik seperti konsert, wayang pacak dan gerai jualan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai Hari Kebangsaan 2025 melalui platform media sosial rasmi sambutan, Merdeka360. – BERNAMA

Artikel Berkaitan

Back to top button