Berita

11 ahli Parlimen ‘tumbang’ dalam Parlimen

Yang Dipertua Dewan Rakyat mahu semua wakil rakyat jalani pemeriksaan kesihatan.

KUALA LUMPUR 13 Sept. – “saya sendiri telah melihat 11 ahli Parlimen ‘tumbang’ dalam masa 15 tahun.”

Demikian kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ketika mempengerusikan Sidang Khas perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), hari ini.

Mengambil teladan daripada kejadian ahli Parlimen ‘tumbang’ itu, Johari mewajibkan kesemua 222 wakil rakyat menjalani pemeriksaan kesihatan.

Beliau turut berharap semua Ahli Parlimen memandang serius perkara tersebut dengan melaksanakan pemeriksaan kesihatan walaupun sibuk dengan tugasan.

“Saya amat prihatin dan mengambil berat terhadap tahap kesihatan yang melibatkan ahli-ahli Yang Berhormat di dalam dan luar Dewan Rakyat. Malahan, terdapat kes yang telah menyebabkan kematian.

“Saya telah menyarankan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) supaya pemeriksaan kesihatan secara tetap perlu dibaut ke atas semua ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Ia bagi memastikan pemantauan kesihatan yang berterusan dibaut demi memastikan tahap kesihatan yang baik,” katanya.

Mengulas lanjut, Johari memaklumkan surat bagi menjalani pemeriksaan kesihatan itu telah pun diedarkan kepada semua ahli Parlimen, semalam.

“Pemeriksaan kesihatan ini akan dilaksanakan di klinik kesihatan Parlimen atau di klinik kesihatan atau fasiliti swasta seperti yang diperincikan dalam surat tersebut.

“Untuk makluman, pemeriksaan kesihatan ini wajib dijalani oleh semua ahli Yang Berhormat dan tarikh akhir untuk ahli Yang Berhormat menjalankan pemeriksaan kesihatan adalah pada Selasa, 31 Oktober 2023,” katanya. — Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button