Berita

141 anggota Maritim Malaysia terima kenaikan pangkat

LEMBAGA Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam (LKPPA) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah meluluskan pemangkuan pangkat seramai 59 orang Bintara Kanan Maritim Gred T8 dan 82 orang Bintara Muda Maritim Gred T6 menjadikan jumlah keseluruhan penerima kali ini seramai 141 anggota.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim berkata, semangat, tekad, disiplin, dan kesungguhan individu dalam melaksanakan tugas merupakan kunci utama untuk mencapai sesuatu kejayaan.

Justeru, beliau berharap agar prestasi cemerlang anggota yang menerima pemangkuan pangkat ini kekal diteruskan agar ia dapat menjadi sumber inspirasi serta contoh yang baik kepada warga Agensi yang sedang berkhidmat dalam perkhidmatan Maritim Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat kepada 10 orang Pegawai Lain-Lain Pangkat bertempat di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, semalam.

Turut hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Tuan Mohd Norzam bin Mustapa, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah, serta Pengarah – Pengarah Bahagian Ibu Pejabat Maritim Malaysia.

Datuk Saiful Lizan dalam pada itu memaklumkan baki pemakaian pangkat kepada 131 anggota akan disempurnakan di peringkat Maritim Negeri dan Zon Maritim di seluruh negara mengikut tempat pegawai berkenaan bertugas.

Artikel Berkaitan

Back to top button