15,000 restoran setuju sertai inisiatif Menu Rahmah
Antara inisiatif berkenaan termasuklah Menu Rahmah, Bakul Rahmah, Barangan Rahmah, Kafe Rahmah dan Jualan Murah Rahmah.

SUBANG JAYA 31 Jan. – Kerajaan memberi jaminan untuk melaksanakan kesemua inisiatif dibawah Payung Rahmah selewat-lewatnya Mac ini.
Antara inisiatif berkenaan termasuklah Menu Rahmah, Bakul Rahmah, Barangan Rahmah, Kafe Rahmah dan Jualan Murah Rahmah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata inisiatif itu dilihat bersesuaian dengan usaha berterusan kerajaan untuk memastikan golongan B40 bersedia mendepani isu kos sara hidup yang dijangka lebih serius tahun ini.
“Dalam Menu Rahmah, makanan-makanan yang dijual tidak lebih RM5 sepinggan tanpa sebarang had pelanggan. Maknanya perut rakyat yang memerlukan dapat terisi dengan makanan dari awal pagi sampai ke malam.
“Cadangan harga RM5 itu adalah paling munasabah selepas pihak kami membuat kajian. Bukan sahaja nasi, ayam atau ikan dan sayur semata, pelanggan boleh memilih pelbagai menu lain yang dijual oleh peniaga.
“Justeru, saya sangat menghargai sumbangan para peniaga yang terlibat kerana sudi mengecilkan keuntungan, tidak mengurangkan jumlah makanan (portion) dan tidak berkompromi dengan variasi menu yang diberikan,” katanya pada Majlis Pelancaran Inisiatif Menu Rahmah di Pasar Raya MYDIN Subang Jaya, di sini, hari ini.
Majlis turut dihadiri Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin dan beberapa persatuan restoran yang turut terbabit dalam inisiatif berkenaan.
Menurut Salahuddin, setakat ini sebanyak 15,000 restoran bersetuju untuk menyertai inisiatif berkenaan sebagai tanda sokongan kepada kerajaan untuk meringankan beban rakyat.
“Saya terkejut apabila melihat Menu Rahmah yang ditawarkan kerana ia bukan saja nasi, sayur dan ayam, namun terdapat banyak lagi menu yang disediakan seperti mee goreng, bihun sup dan roti john.
“Saya percaya inisiatif ini dapat mengisi perut rakyat dengan pembabitan lebih ramai pengusaha restoran yang saya kira lebih kreatif dalam mempelbagaikan menu masakan supaya dapat seiring dengan harga Menu Rahmah.
“Ini adalah antara sumbangan kecil untuk golongan yang perlu perut mereka diisi. Kita cuba menyantuni golongan yang ada isu kos sara hidup dengan semua inisiatif yang disusun di bawah Payung Rahmah,” katanya.
Tambahnya lagi, beliau berharap agar inisiatif ini dapat dilakukan dalam jangka masa yang lama kerana bantuan ini bukannya berbentuk one-off seperti bantuan-bantuan lain.