17 kawasan berisiko banjir di Besut dalam pemantauan
Pemantauan dilakukan susulan hujan berterusan sejak malam kelmarin.

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan pemantauan berterusan di 17 kawasan berisiko tinggi banjir di Besut, Terengganu susulan hujan berterusan sejak malam kelmarin.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih, Muhammad Tarmimi Che Musa, berkata pihaknya menyediakan aset membabitkan empat bot penyelamat, sebuah lori tiga tan dan sebuah pacuan empat roda untuk melancarkan operasi banjir kali ini.
Katanya, Balai Bomba dan Penyelamat Jertih akan menjadi pusat kawalan tempat kejadian rondaan banjir bagi semua agensi pasukan penyelamat.
“Setakat ini pusat kawalan belum diaktifkan lagi kerana Pusat Kawalan Operasi Bencana masih belum diaktifkan.
“Kami juga bekerjasama dengan agensi penyelamat lain seperti polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk operasi menyelamat mangsa banjir.
“Pemantauan kawasan banjir dibuat dua atau tiga kali bergantung kepada keadaan cuaca semasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhammad Tarmimi berkata, antara lokasi berisiko tinggi banjir adalah Kampung Belaoh, Kampung La, Kampung Lampu, Kampung Alor Keladi, dan Kampung Chegar Batang.
“Seterusnya Kampung Tembila, Tok Dor, Gong Surau, Apal, Renek, Mata Air, Keruak, Seberang La, Jerubung, Belok, Batu 13 serta FELDA Tenang.
“Sementara itu tujuh kawasan berisiko rendah dan 10 kampung berisiko biasa,” katanya.
Muhammad Tarmimi berkata, pemantauan banjir pasukan bertugas mengesan banjir kilat berlaku di Kampung Gong Guchil, Mukim Lubuk Kawah membabitkan dua rumah Projek Perumahan Rakyat (PPRT) yang mula dinaiki air.
“Bagaimanapun empat sekeluarga sudah berpindah lebih awal ke rumah keluarga mereka di Kampung Gerai, Jertih,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut melakukan pemantauan paras air banjir di stesen ramalan banjir di Kampung La, Hulu Besut. — Xklusif