Berita

19 Januari keputusan representasi Najib gugur kes AMLA

Perkara itu ditetapkan Mahkamah Tinggi pada Jumaat.

KUALA LUMPUR 1 Dis. – Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat menetapkan tarikh akhir keputusan representasi Datuk Seri Najib Razak untuk menggugurkan tiga kes pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta, pada 19 Januari tahun depan.

Hakim, K Muniandy memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan, representasi yang dihantar bekas Presiden UMNO pada 31 Julai lalu, belum diputuskan Peguam Negara (AG).

Mohd Ashrof berkata, AG memohon mahkamah memberi sedikit masa untuk pihaknya menguruskan kandungan representasi tersebut.

“Susulan itu, saya mohon mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes baharu, jika boleh dalam masa tiga bulan iaitu Februari tahun depan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Mohd Ashrof: Rasanya ini merupakan representasi ketiga tertuduh.

Muniandy: Kenapa lambat sangat buat pertimbangan?

Mohd Ashrof: Ini kerana ia melibatkan kes berprofil tinggi disamping tertuduh mempunyai kes-kes lain yang masih dalam perbicaraan termasuk pertuduhan yang belum dibicarakan.

Untuk rekod, Najib berdepan dua lagi kes mahkamah iaitu penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB yang kini di peringkat perbicaraan dengan pendakwaan telah memanggil seramai 48 saksi.

Sementara satu lagi kes ialah pecah amanah jenayah berjumlah RM6.6 bilion berhubung pembayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Mendengar perkara itu, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) bekas Perdana Menteri tersebut kerana kes terbabit telah tertangguh selama lima tahun setengah.

“Bagi tidak memprejudiskan mana-mana pihak terutamanya anak guam saya, pembelaan mencadangkan mahkamah mengeluarkan perintah DNAA.

“Sekiranya (pihak pendakwaan) mempunyai keputusan berbeza atau mempunyai perkembangan lain, kes boleh dikemukakan semula, yang mana ketika itu mahkamah boleh memutuskan sama ada untuk meneruskan kes atau sebaliknya,” kata peguam utama Najib ini.

Mendengar perkara tersebut, Mohd Ashrof kemudiannya menjelaskan bahawa, kes ini telah ditangguhkan atas persetujuan kedua-dua pihak, iaitu bagi membolehkan pembelaan memberi tumpuan kepada perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

“Kes disebut di Mahkamah Tinggi pada April 2019 dan pada ketika itu kedua-dua pihak bersetuju untuk menangguhkan kes sehingga perbicaraan SRC (seleweng dana RM42 juta) selesai sepenuhnya.

“Perbicaraan SRC (seleweng dana RM42 juta) telah berakhir pada Ogos 2022 dan semakan tamat pada Mac 2023,” katanya.

Sementara representasi kes ini pula, beliau berkata, ia dihantar pada 31 Julai lalu dan diterima oleh AG pada 2 Ogos lalu.

Sepanjang tempoh itu beliau berkata, kes AMLA ini telah ditetapkan untuk pengurusan kes sebanyak tiga kali.

Pada 8 Februari 2019, Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tiga tuduhan AMLA, tetapi kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Bagi ketiga-tiga tuduhan itu, Najib didakwa terbabit aktiviti AMLA dengan menerima wang keseluruhannya RM27 juta dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

Najib dituduh melakukan semua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di sini, pada 8 Julai 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Najib kini sedang menjalani hukuman 12 tahun di Penjara Kajang dan didenda RM210 juta, atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Bekas pemimpin UMNO itu telah menghantar representasi kepada AG untuk menggugurkan tiga lagi pertuduhan kes pengubahan wang haram membabitkan dana SRC berjumlah RM27 juta yang dihadapinya. — Sinar Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button