19 premis hiburan, pusat urut tawar khidmat seks diserbu
Operasi itu dilakukan pada Rabu dan Jumaat lalu.
KUALA LUMPUR 28 Nov. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Jabatan Penguatkuasaan DBKL menggempur 19 premis hiburan termasuk pusat urut tawar perkhidmatan seks di sekitar ibu negara.
Operasi Tindakan Khas Premis Berisiko itu dilaksanakan pada Rabu dan Jumaat di Jalan Telawi Bangsar; Jalan Sultan Ismail; Jalan Metro Pudu; Publika Jalan Dutamas; Jalan Puchong dan Jalan Kuchai Maju.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan hasil serbuan dan pemeriksaan mendapati premis terbabit dikesan menawarkan khidmat seks serta mengadakan aktiviti hiburan tanpa kebenaran dan kelulusan pihak berkuasa.
Sehubungan itu, DBKL membuka enam kertas siasatan (IP) di bawah Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) dan di bawah Akta Hiburan 1992 kerana mengadakan aktiviti hiburan (live muzik/DJ) tanpa kebenaran.
Dalam pada itu, tujuh premis dikenakan tindakan sita melibatkan 52 pelbagai peralatan muzik dan barangan lain antaranya sound processor, mixer sound, digital mixing serta kondom dan gel pelincir.
“Barangan dan peralatan ini akan di hantar ke Setor Sitaan DBKL di Jalan Lombong Taman Miharja, Cheras bagi tujuan rekod, penyimpanan sementara dan proses tuntutan.
“Tindakan penguatkuasaan ini akan diteruskan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang lain sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” tambah kenyataan itu. — Sinar Harian