1MDB : BNM syor denda RM23 juta tapi AGC kenakan RM15 juta – Zeti
Zeti memberi jawapan itu susulan pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah semasa perbicaraan rasuah 1MDB

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Bank Negara Malaysia (BNM) mengesyorkan denda RM23 juta terhadap 1MDB kerana gagal mematuhi arahan bank pusat di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, kata Zeti Akhtar Aziz.
Bagaimanapun, bekas gabenor BNM itu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa peguam negara ketika itu menetapkan denda RM15 juta terhadap firma pelaburan negara yang bermasalah tersebut.
Zeti memberi jawapan itu susulan pemeriksaan balas oleh peguam bela utama Muhammad Shafee Abdullah semasa perbicaraan rasuah 1MDB membabitkan penyelewengan RM2.28 bilion oleh bekas perdana menteri Najib Razak.
Zeti: Bagi mendenda 1MDB, kami memerlukan persetujuan atau kebenaran peguam negara, dan peguam negara menolak denda yang disyorkan oleh bank pusat.
Shafee: Berapa jumlah (denda yang disyorkan oleh BNM)?
Zeti: RM23 juta.
Shafee: Ini dikurangkan kepada RM15 juta.
Zeti: Ya, betul.
Pada 28 April 2016, BNM dilaporkan telah mengeluarkan surat kompaun kepada 1MDB kerana gagal mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan, yang adalah antara tindakan terakhir oleh Zeti sebelum bersara sebagai gabenor BNM.
Kemudian pada 17 Ogos 2018, Gabenor Bank Negara ketika itu Nor Shamsiah Mohd Yunus mendedahkan bahawa 1MDB telah didenda RM15 juta.
Antara 27 Julai 2015 dan 4 Jun 2018, peguang negara ketika itu adalah Mohamed Apandi Ali.
Sebelum ini, semasa perbicaraan 1MDB di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah, Zeti memberi keterangan bahawa Apandi pada 2015 tidak menerima cadangan BNM untuk mendakwa bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi serta dua lagi bekas eksekutif firma itu, Casey Tang dan Nik Faisal Ariff Kamil.
Perbicaraan akan bersambung esok.
Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana daripada 1MDB yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Bagi empat pertuduhan salah guna kuasa, Najib yang juga adalah bekas menteri kewangan didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd cawangan Jalan Raja Chulan di Bukit Ceylon, Kuala Lumpur, antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, tertuduh dikatakan melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013. – Malaysiakini