Berita

1MDB: Malaysia boleh pertimbang saman bank

Tindakan itu terhadap beberapa bank luar negara yang tidak menjalankan proses KYC dengan betul.

KUALA LUMPUR 21 Dis. – Malaysia boleh mempertimbang memulakan tindakan undang-undang terhadap beberapa bank di luar negara yang tidak menjalankan proses ‘Know Your Customer’ (KYC) dengan betul sehingga menyebabkan wang berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terlepas masuk ke akaun yang tidak sepatutnya.

Pengerusi Pasukan Petugas 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata terdapat tujuh atau lapan bank antarabangsa yang memudah cara transaksi berkenaan di beberapa negara yang dikenal pasti mempunyai aliran masuk wang daripada skandal berkenaan.

“Jika kita tengok, bergantung jika kita ambil tindakan kepada bank di luar negara ini yang memudah cara pindahan wang dan tidak menggunakan KYC yang betul, mungkin kita boleh mulakan tindakan undang-undang terhadap mereka kerana tidak menjalankan KYC dengan betul.

“Jika kita saman mana-mana bank di semua negara yang mempunyai aliran wang ini dan ia mahu lawan, kita lawan dan selalunya saya tengok, jumlah yang tidak besar, kita boleh buat pertimbangan, selesaikan di luar mahkamah.

“Bank ini juga tidak suka namanya terbabit (dalam skandal 1MDB),” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian pada program temubual `Naratif Khas: Mengoptimum Hasil Agrikomoditi Negara’ yang disiarkan secara langsung di RTM, malam tadi. Program dihoskan pengacara, Sayed Munawar Sayed Mustar.

Johari bagaimanapun berkata, langkah untuk mengambil tindakan undang-undang itu adalah bagi fasa dua, kerana fasa pertama yang menjadi asas ketika ini adalah mendapatkan wang sebanyak yang boleh daripada perjanjian penyelesaian dengan Goldman Sachs, yang mana bank pelaburan itu menjamin pulangan AS$1.4 bilion dalam aset 1MDB yang dirampas pihak berkuasa di seluruh dunia.

“Kita sudah sampai satu peringkat pemulihan besar daripada Goldman Sachs. Cuma kita ada pertikaian sikit dari segi syarikat itu mahu membayar AS$1.4 bilion. Ia tidak bayar.

“Walaupun kita sudah bagi lanjutan sebanyak empat kali, ia tidak mahu bayar, jadi kita terpaksa berdepan dengan arbitrasi.

“Arbitrasi ini akan menyebabkan kita perlu pergi ke perbicaraan kes dan lihat keputusannya nanti,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan, Kumpulan Goldman Sachs memfailkan saman timbang tara terhadap Malaysia di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London (LCIA) kerana didakwa melanggar obligasinya untuk mengkredit aset dengan sewajarnya terhadap jaminan diberikan Goldman Sachs dalam perjanjian penyelesaian mereka serta bagi mendapatkan semula aset lain. — Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button