BeritaJenayah

2 anggota berpangkat prebet direman selepas kematian seorang tentera akibat didakwa didera oleh pegawai atasan

Dua anggota berpangkat prebet telah direman selama tujuh hari sehingga 2 April susulan kematian seorang anggota tentera yang didakwa didera oleh pegawai atasan di sebuah kem tentera di Miri, Sarawak.

Menurut laporan Berita Harian, suspek berusia 22 dan 24 tahun yang bertugas di Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja itu telah ditangkap di Kem Sri Miri pada jam 4.30 petang semalam.

“Polis sedang menjalankan siasatan kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” kata Ketua Polis Miri, Alexson Naga Chabu.

Alexson turut menggesa orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut.

Terdahulu, Berita Harian memetik sumber yang berkata mangsa telah dikejutkan oleh dua anggota kanan sekitar jam 2.15 pagi Isnin lalu untuk bersahur.

Namun, sebelum sempat makan, mangsa didakwa telah diarahkan oleh anggota senior tersebut untuk melakukan posisi “rehat komando” selama dua minit, iaitu dengan menyeimbangkan kepala di lantai dan tangan di belakang badan. Selepas itu, mangsa turut diarahkan melakukan 20 tekan tubi.

Mangsa rebah selepas menyelesaikan senaman tersebut dan segera dikejarkan ke Hospital Miri, namun disahkan meninggal dunia pada jam 3.05 pagi.

Penemuan awal bedah siasat mendapati punca kematian adalah trauma tumpul pada bahagian dada akibat hentakan kuat yang menyebabkan kerosakan pada jantung.

Panglima Tentera Darat, Hafizuddeain Jantan, sebelum ini berkata pihak tentera telah melancarkan siasatan dalaman berhubung kematian tersebut dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap mana-mana anggota yang didapati bersalah.

Artikel Berkaitan

Back to top button