Berita

2 rakyat Malaysia di Guantanamo setuju dipenjara 20 hingga 25 tahun

Kedua-duanya mengaku bersalah atas konspirasi dalam pengeboman Bali pada 2002.

KUALA LUMPUR 19 Jan. – Dua rakyat Malaysia di kem tahanan Guantanamo yang mengaku bersalah di Mahkamah Tentera Amerika Syarikat (AS) di Cuba, atas konspirasi dalam pengeboman Bali pada 2002 akan berdepan hukuman penjara 20 hingga 25 tahun di bawah perjanjian prabicara.

Hakim Wesley A Braun dari Tentera Udara AS berkata demikian ketika bertanya kepada Nazir Lep dan Farik Amin, jika mereka tahu klausa itu dalam perjanjian yang ditandatangani mereka dengan Washington.

Beliau turut berusaha mendapatkan jaminan dua lelaki yang berada di Guantanamo itu bahawa mereka menandatangani perjanjian itu secara sukarela tanpa sebarang paksaan dan tahu akibatnya.

Braun juga bertanya jika mereka bersetuju dengan klausa lain yang menetapkan sebarang hukuman kurungan boleh dilaksanakan dari tarikh mereka mengaku bersalah.

Kedua-duanya menjawab secara afirmatif, menurut nota perbicaraan semalam.

Dalam pertanyaan panjang lebar dan menyeluruh terhadap kedua-duanya mengenai beberapa klausa ketat dalam perjanjian itu pada hari kedua perbicaraan, Braun berkata, ada perjanjian untuk mahkamah mengesyorkan penghantaran pulang atau pemindahan ke negara berdaulat ketiga selepas mereka mengaku bersalah.

“Di bawah pemindahan sedemikian, anda akan bekerjasama dengan mana-mana syarat dan prosedur negara itu. Jika anda gagal mengemukakan penepian semakan rayuan dalam masa 10 hari selepas notis tindakan, mahkamah boleh menarik balik syor itu,” katanya kepada mereka.

Mengikut perjanjian itu, Nazir dan Farik turut mengetepikan hak mereka untuk merayu di mana-mana mahkamah terhadap keputusan atau syor mahkamah. Hakim dilihat sangat prihatin dengan klausa itu kerana beliau terus bertanya sama ada mereka tahu akan implikasinya.

Selain itu, mereka perlu memberi kerjasama penuh dalam siasatan ke atas warga Indonesia, Encep Nurjaman, juga dikenali sebagai Hambali, yang didakwa mendalangi pengeboman itu.

Mereka juga perlu bersetuju kepada temu bual, deposisi dan keterangan, serta mengambil bahagian dalam pelbagai prosiding atau pendengaran dengan maklumat tepat.

“Jika anda gagal mematuhi peruntukan ini, pihak berkuasa bersidang boleh menarik diri daripada perjanjian ini. Kerjasama ini akan diteruskan sehingga 30 hari selepas anda dijatuhkan hukuman, melainkan anda, peguam anda dan pihak berkuasa bersidang bersetuju sebaliknya.”

Hakim berkata, kedua-duanya bersetuju menarik balik semua usul belum selesai, kecuali satu usul berkaitan permintaan untuk kredit hukuman sebelum menandatangani perjanjian itu.

Kredit ialah tempoh yang akan ditolak daripada mana-mana hukuman penjara diterima untuk sabitan.

Selasa lalu, Nazir, 46, dan Farik, 48, mengaku bersalah bersubahat dalam serangan bom di Bali pada Oktober 2002, selepas 20 tahun dikurung tanpa perbicaraan di Teluk Guantanamo, Cuba.

Mereka bersama Hambali diletakkan dalam kurungan bersendirian sejak ditahan di Thailand pada 2003.

Mereka kali pertama didakwa pada 2018 dengan sembilan kesalahan dikaitkan dengan pengeboman kelab malam di Bali pada 2002 yang meragut 202 nyawa dan pengeboman Hotel Marriott di Jakarta pada 2003 yang menyebabkan 11 kematian.

Rayuan mereka bagaimanapun tidak menyebut sebarang kaitan dengan pengeboman di Jakarta pada 2003.

Sebagai sebahagian perjanjian pengakuan itu, tuduhan keganasan, serangan ke atas orang awam dan struktur awam serta cubaan membunuh digugurkan pihak pendakwaan. — Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button