Berita

26 penjaja ikan singgang berpindah ke tempat baharu – DBKL

Kerja-kerja meroboh deretan gerai di lokasi asal akan dilaksana pada 22 Januari depan.

KUALA LUMPUR 19 Jan. – Seramai 26 penjaja gerai ikan singgang di Jalan Dewan Sultan Sulaiman 1, Kampung Baru di sini akan berniaga di lokasi baharu iaitu Medan Selera Singgang MADANI@Batu Bata, Titiwangsa.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan malam ini memaklumkan kerja-kerja meroboh deretan gerai di lokasi asal akan dilaksana pada 22 Januari depan dan pihaknya sudah mengeluarkan notis pemakluman pengosongan tapak itu sejak Oktober tahun lalu.

Menurut DBKL, notis itu menghendaki setiap penjaja mengosongkan tapak selewat-lewatnya 31 Disember tahun lalu dan notis peringatan pula dikeluarkan pada awal Januari tahun ini.

“Lokasi gerai baharu dilihat akan memberi lebih keselesaan kepada penjaja dan pengunjung disebabkan lokasi gerai asal adalah bersebelahan dengan pusat sementara penyembelihan ayam yang boleh menimbulkan bau kurang menyenangkan kepada pengunjung ditambah keadaan kebersihan di sekitar kawasan perniagaan yang tidak memuaskan.

“Tapak itu juga terbabit dengan pelaksanaan projek pelebaran jalan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut beberapa sesi libat urus antara pihak DBKL dengan penjaja gerai ikan singgang sudah diadakan sejak 2021 bagi membincangkan insentif dan tawaran kepada mereka untuk memastikan kelangsungan perniagaan setelah berpindah ke lokasi baharu.

Menurut DBKL, antara insentif itu ialah pengecualian sewaan selama tiga bulan selepas berpindah ke Medan Selera Singgang MADANI@Batu Bata dan pengindahan serta pencahayaan di laluan pejalan kaki dari Stesen LRT Titiwangsa ke medan selera bagi tujuan keselamatan khususnya pengunjung gerai.

Untuk rekod, lokasi baharu itu dahulu dikenali dengan Medan Selera Damai@Batu Bata namun pertukaran nama iaitu Medan Selera Singgang MADANI@Batu Bata dibuat bagi mengekalkan jenama ikan singgang yang merupakan lokasi utama peminatnya di ibu negara. — Bernama

Artikel Berkaitan

Back to top button