272 majikan dikompaun RM2.17 juta pelbagai kesalahan buruh
Kesemua majikan dikompaun sejak 1 Januari lalu.

PUTRAJAYA 14 Sept – Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mengeluarkan kompaun berjumlah RM2.17 juta ke atas 272 majikan sejak 1 Januari lalu kerana gagal menjaga kebajikan pekerja masing-masing.
“Antara kesalahan yang dikesan adalah pemotongan gaji secara tidak sah, gagal menyediakan kontrak pekerjaan dan slip gaji, gagal menyediakan elaun untuk kerja lebih masa di bawah Akta Kerja 1955 serta gagal menyediakan gaji minimum.
“Setakat ini juga, sebanyak 128 majikan dikenakan tindakan denda oleh mahkamah berjumlah RM242,000,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Seminar Memerangi Buruh Paksa di Malaysia di sini, hari ini.
Sivakumar menegaskan, semua tindakan yang diambil pihaknya bukan bertujuan untuk menghukum semata-semata, sebaliknya sebagai pengajaran kepada majikan lain supaya tidak mengulangi kesalahan sama.
Ditanya mengenai statistik dan jumlah buruh paksa serta situasinya di negara ini, beliau menjelaskan keadaan di Malaysia adalah terkawal dan kerajaan sedang melakukan pelbagai inisiatif untuk memeranginya.
“Kita mengetahui bahawa isu buruh paksa ini adalah serius di mana statistik menunjukkan 25 juta orang terbabit dengan buruh paksa di peringkat global dan setiap negara memainkan peranan penting untuk menangani isu ini.
“Di Malaysia, situasinya adalah terkawal namun isu ini boleh menjejaskan imej negara dan kita sedang berusaha untuk menangani isu ini kerana menjadi harapan kerajaan untuk mencapai sasaran sifar buruh paksa menjelang 2030,” katanya.
Pada majlis itu, Sivakumar turut melancarkan buku Garis Panduan Mencegah dan Membasmi Amalan Buruh Paksa Di Tempat Pekerjaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, buku berkenaan adalah dokumen komprehensif bagi memberi panduan dan pendedahan kepada semua pihak berkepentingan khususnya majikan, pekerja, kesatuan pekerja dan pihak berkaitan mengenai buruh paksa.
Jelasnya, garis panduan itu dirangka untuk menentukan secara jelas beserta perincian dan takrifan buruh paksa, petunjuk serta langkah ke arah mencegah amalan buruh paksa.
“Penerbitan garis panduan ini adalah antara usaha JTKSM dalam memenuhi komitmen di bawah Pelan Tindakan Nasional Buruh Paksa (NAPFL) 2021-2025,” katanya. — Berita Harian