3 pemimpin politik ‘otai’ tarik balik niat nak pencen

KUALA LUMPUR Feb 21 – Sudah menjadi lumrah setiap ahli politik akan mengakhiri perjalanan politiknya apabila tiba waktunya sama ada atas faktor umur mahupun mahu mencuba sesuatu yang baru.
Ada bekas ahli politik yang membuat keputusan untuk meluangkan masa bersama keluarga dan juga menyertai misi kemanusian selepas berpuluh tahun mengabdikan diri dalam arena politik.
Namun, terdapat juga ahli politik yang pernah mengumumkan persaraan mereka daripada politik tetapi tetap muncul semula buat ‘comeback’.
Berdasarkan pemerhatian Xklusif, berikut merupakan senarai 3 pemimpin otai yang tak jadi pencen:
1) Tun Dr Mahathir Mohamad
Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) berusia 98 tahun ini pernah memegang jawatan sebagai Perdana Menteri sebanyak dua kali, iaitu pada Julai 1981 sebelum meletak jawatan pada Oktober 2003.
Figura ini juga pernah menggemparkan negara apabila mengumumkan persaraan daripada politik pada pada 31 Oktober 2003 untuk memberi laluan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.
Walaupun telah bersara, beliau pada masa itu, masih juga memberi pandangan, apa yang seharusnya boleh dilakukan dan apa yang tidak, kepada penggantinya. Masa itu, ramai yang beranggapan, bahawa Malaysia cukup beruntung kerana seorang negarawan yang telah bersara, masih juga perihatin kepada negara.
Beliau kemudian dilantik semula menjadi Perdana Menteri pada Mei 2018 hingga Mac 2020. Ini sekali gus menyaksikan beliau memegang jawatan tersebut paling lama di negara ini.
Pada PRU15, beliau tewas di tangan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Suhaimi Abdullah ketika bertanding di kerusi Parlimen Langkawi.
Terkini, beliau memberi bayangan untuk menyertai Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) sebagai penasihat dan mengundang kecaman netizen yang menyifatkan pemimpin itu perlu berehat daripda politik atas faktor usia dan kesihatan.
Dr Mahathir memaklumkan akan terus aktif dalam politik, terutama selagi khidmatnya masih diperlukan untuk membantu orang Melayu. Tahun ini juga adalah tahun ke 78 beliau terlibat dengan politik. Fuh, lama tu.
2. Lim Kit Siang
Veteran DAP berusia 82 tahun ini permah mengumumkan persaraannya pada Mac 2020 selepas 56 tahun menjadi antara pengasas DAP.
Namun, tidak sampai dua bulan, bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu kembali semula dan memaklumkan beliau hanya bersara daripada politik kompetitif.
Menurut Kit Siang, beliau tidak akan bersara daripada politik sepenuhnya kerana politik berkisar dalam setiap aspek kehidupan seharian rakyat.
Beliau berkata demikian terhadap pandangan dari sesetengah pihak yang mengatakan golongan warga emas yang telah bersara tidak patut memberikan komen mengenai politik.
3. Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil
Bekas Ketua Wanita UMNO berumur 70 tahun ini pernah mengumumkan persaraannya daripada politik pada Jun 2018 selepas memilih tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti ketika itu.
Shahrizat turut mengesahkan sudah melepaskan semua jawatan dalam parti di peringkat cawangan, bahagian dan pusat selepas 39 tahun terlibat dalam politik.
Bagaimanapun, kini beliau membut ‘comeback’ menentang Dr Noraini Ahmad merebut jawatan Ketua Wanita UMNO pada pemilihan parti itu tidak lama lagi.
Keputusannya untuk kembali ke dalam kancah politik sekali gus menamatkan spekulasi berhubung pembabitan beliau dalam arena politik selepas berundur selama lima tahun.
Masing-masing mempunyai alasan tersendiri apabila membuat keputusan untuk kembali aktif dalam politik, namun ia dilihat oleh segelintir pihak seperti belum ‘move on’ dan atau mungkin darah politik itu masih ‘pekat’ dan masih mahu berbakti kepada parti pilihan masing-masing. – Xklusif