Berita

30% penghisap vape berusia 12 hingga 15 tahun

Angka itu dikeluarkan Southeast Asia Tobacco Control Alliance (SEATCA).

KUALA LUMPUR 15 Dis. – Kira-kira 30 peratus perokok elektronik (vape) di Malaysia berusia antara 12 hingga 15 tahun, menurut Southeast Asia Tobacco Control Alliance (SEATCA).

Melalui satu kenyataan, pertubuhan antitembakau Asia Tenggara itu berkata prevalen penggunaan rokok elektronik atau e-rokok dalam kumpulan umur berkenaan tinggi di negara ini, berbanding prevalen perokok remaja iaitu 12.5 peratus yang meliputi 10.8 peratus lelaki and 1.7 peratus perempuan.

Secara perbandingan, pertubuhan itu berkata negara lain di ASEAN seperti Brunei, Kemboja, Laos, Singapura, dan Thailand melarang penggunaan alatan itu termasuk hampir 40 negara lain.

Sambil menyeru Malaysia mengambil langkah sama dalam usaha menghentikan trend membimbangkan itu, pertubuhan berkenaan berkata e-rokok yang diambil bersama nikotin mencetuskan ketagihan tinggi, selain kesan terhadap kesihatan.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata e-rokok secara agresif dipromosi kepada orang muda melalui media sosial dan pempengaruh.

“Kanak-kanak terutamanya disasarkan menerusi karektor kartun, ketersediaan sekurang-kurangnya 16,000 perasa dan e-rokok menyerupai mainan, gula-gula serta peralatan persekolahan,” katanya.

Dalam rantau ASEAN, SEATCA berkata prevalen e-rokok dalam kalangan remaja Filipina adalah 14.1 peratus, manakala di Indonesia 11.8 peratus pelajarnya menggunakan e-rokok.

“Walaupun kesan kesihatan jangka panjang belum dapat dikenal pasti sepenuhnya, telah terbukti ia menghasilkan bahan toksik yang mana berupa karsinogenik, selain meningkatkan risiko gangguan jantung dan paru-paru.

“Penggunaan e-rokok juga menjejaskan perkembangan otak dan menjurus gangguan pembelajaran golongan muda,” katanya.

SEATCA juga berkata, produk berkenaan berbahaya dan tidak cekap digunakan bagi berhenti merokok seperti didakwa.

“Dakwaan kurang bahaya belum dapat dibuktikan dan mengelirukan. Lebih tepat mengatakan ia adalah permulaan bahaya bagi orang muda yang tidak pernah merokok dan pengganti bahaya kepada perokok yang cuba berhenti merokok,” katanya. — FMT

Artikel Berkaitan

Back to top button