310 kes dera di taska tahun lalu – Nancy
JKM menjalankan pemeriksaan mengejut di taska dan pusat asuhan bagi mengelamg kejadian dera berlaku

KUALA LUMPUR 19 Sept – Sebanyak 310 kes penderaan di taman asuhan kanak-kanak (taska) dilaporkan sepanjang 2022.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, bagaimanapun memaklumkan tiada kes penderaan dikesan melibatkan warga emas di pusat jagaan sepanjang tahun sama.
“JKM telah menerima satu aduan kes penderaan di pusat jagaan yang memberi jagaan kepada kanak-kanak pada tahun 2022,” katanya semasa penggulungan perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat.
Mengulas lanjut Nancy berkata, pihak kementerian mengambil beberapa langkah bagi memastikan pusat jagaan sentiasa mematuhi akta dan peraturan ditetapkan, antaranya melakukan pemeriksaan mengejut di premis pusat penjagaan berdaftar sekurang-kurangnya dua kali setahun.
“Kedua, memperkasakan tindakan penguatkuasaan ke atas pusat jagaan yang melanggar akta dan peraturan di bawahnya; dan ketiga, menganjurkan program kesedaran masyarakat sentiasa diadakan agar menjadi mata dan telinga jabatan bagi melaporkan kejadian kejadian yang disyaki melanggar peraturan,” katanya.
Katanya, bagi pusat jagaan tidak berdaftar, tindakan penguatkuasaan diambil bagi membendung isu itu daripada terus berleluasa.
“Sepanjang tahun 2020 hingga 2022 sebanyak 13 pusat jagaan tidak berdaftar telah dikenakan tindakan lak, sembilan dikompaun dan satu tindakan pendakwaan.
“Jumlah keseluruhan tindakan ke atas pusat jagaan tidak berdaftar dari tahun 2020 hingga 2022 adalah sebanyak 23 tindakan,” katanya. – Xklusif