4 mangsa tertimbus belum ditemukan, MBPP keluar notis henti kerja
Bomba masih meneruskan operasi menyelamat empat lagi mangsa yang dipercayai tertimbus dalam runtuhan.
KUALA LUMPUR 29 Nov. – Operasi menyelamat empat lagi mangsa yang dipercayai tertimbus dalam runtuhan rasuk di tapak pembinaan sebuah gudang berhampiran Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Batu Maung, Pulau Pinang masih diteruskan.
Ketika ini, pihak bomba menggunakan kren bagi mengangkat bongkah rasuk yang runtuh untuk mencari mangsa yang terperangkap.
Awal pagi Rabu, polis mengesahkan tiga buruh binaan maut, dua cedera parah manakala empat lagi masih hilang dalam kejadian runtuhan terbabit dan kesemua mangsa merupakan warga negara Bangladesh.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, sebelum kejadian, 18 pekerja sedang bekerja namun sembilan daripada mereka keluar untuk bersolat.
Menurutnya, kejadian melibatkan kawasan pembinaan gudang sebuah syarikat swasta.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengeluarkan notis henti kerja serta merta terhadap projek pembinaan gudang yang terlibat dalam kejadian runtuhan rasuk pada malam Selasa.
Datuk Bandar MBPP, Datuk A Rajendran berkata, perintah berhenti kerja itu dikeluarkan awal pagi Rabu kepada pihak pemaju dan jurutera projek berkenaan.
“Jurutera perunding projek ini juga telah berada di tapak projek untuk memberi maklumat kepada pihak berkuasa berkaitan kerja-kerja menyelamat dan pemulihan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Rabu.
Beliau berkata, sebelum ini, pemaju projek telah diberi kebenaran untuk menjalankan kerja pembinaan pada waktu malam.
“Ini adalah ‘fast track’ projek dan projek ini berada di landasan yang betul (projek on track).
“MBPP juga telah beri kebenaran untuk kerja-kerja projek ini diteruskan pada waktu malam kerana lokasinya di luar kawasan perumahan,” katanya. — Sinar Harian