Berita

4 penerbangan Malaysia Airlines terjejas akibat penutupan Lapangan Terbang Heathrow, London.

Empat penerbangan Malaysia Airlines ke London terjejas susulan penutupan Lapangan Terbang Heathrow di Britain akibat gangguan bekalan elektrik yang berpunca daripada kebakaran di sebuah pencawang elektrik.

Malaysia Aviation Group (MAG) memaklumkan bahawa penerbangan MH2 yang berlepas dari KLIA pada jam 11.37 malam semalam telah dialihkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol di Amsterdam, Belanda.

Pesawat berkenaan, yang membawa 246 penumpang dan 17 anak kapal, telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Amsterdam pada jam 6.19 pagi waktu tempatan.

“Demi keselamatan, juruterbang telah membuat keputusan untuk mengalihkan penerbangan bagi memastikan isu dapat diselesaikan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi asal, London. Keselamatan penumpang tidak pernah terjejas pada bila-bila masa,” menurut kenyataan Malaysia Aviation Group (MAG).

“Para penumpang kini ditempatkan di hotel berhampiran lapangan terbang, dan sebahagian daripada mereka telah dipindahkan ke penerbangan lain.”

Sementara itu, penerbangan MH4 yang berlepas kira-kira jam 9.30 pagi tadi telah berpatah balik dan dijangka tiba di KLIA pada jam 3.30 petang.

MAG turut memaklumkan bahawa dua lagi penerbangan turut terjejas, iaitu MH1 dan MH3, yang dijadual berlepas dari Heathrow hari ini.

“Keselamatan kekal sebagai keutamaan mutlak kami. Keputusan untuk membatalkan penerbangan tidak pernah diambil secara mudah dan sentiasa dibuat dengan mengambil kira keselamatan penumpang dan anak kapal.

“Malaysia Airlines amat kesal atas segala kesulitan dan gangguan terhadap rancangan perjalanan para penumpang. Keselamatan tetap menjadi keutamaan nombor satu kami,” katanya.

Artikel Berkaitan

Back to top button