400 jemaah B40 tolak tunai haji atas faktor kemampuan
Kesemua jemaah beri laluan kepada jemaah lain yang lebih layak.

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Seramai 400 jemaah B40 yang layak menerima bantuan bersasar haji tahun ini, menolak tawaran disebabkan faktor kemampuan bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata mereka membuat keputusan untuk memberi laluan kepada jemaah lain yang lebih layak dan memerlukan.
“Mereka menolak subsidi itu sebaliknya serahkan bahagian mereka kepada jemaah lain lebih layak.
“Saya ucapkan terima kasih kepada golongan ini kerana membuat keputusan tidak terima subsidi demi manfaat penerima lain.
“Ini sedikit sebanyak membantu Lembaga Tabung Haji (TH) menyalurkan bantuan kepada benar-benar memerlukan,” katanya selepas Program Santun Kasih Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Bandar Tun Razak, menurut Berita Harian.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam, berhubung langkah kerajaan yang bersedia menyusun semula pemberian subsidi disifatkan sebagai tidak munasabah kerana turut dinikmati golongan kaya dan rakyat asing.
Anwar dilaporkan berkata, pelaksanaan rasionalisasi subsidi penting bagi memastikan kewangan negara dapat terus diuruskan secara berhemah tanpa menambah hutang baharu kepada negara.
Selain itu, Na’im berkata TH sudah melaksanakan bantuan kewangan haji secara bersasar dengan mengecualikan jemaah T20 pada Musim Haji 1444H/2023M, Mei lalu.
Katanya, pelaksanaan bantuan haji bersasar itu berbeza daripada tahun terdahulu iaitu dipecahkan kepada tiga kelompok membabitkan B40, M40 dan T20.
“Ada kategori jemaah T20, mereka memang tak dapat subsidi dan perlu bayar penuh kos menunaikan haji. Ini memang sudah kita laksanakan (musim haji tahun ini),” katanya.
Tahun ini, jemaah B40 perlu membayar RM11,980 dan RM15,980 bagi kumpulan M40 manakala T20 berpendapatan lebih RM15,000 sebulan perlu menanggung kos haji sepenuhnya.
Bagaimanapun, kerajaan menanggung kenaikan kos haji sebanyak RM1,000 bagi kumpulan B40 yang menyaksikan mereka hanya perlu membayar RM10,980 iaitu kadar sama tahun lalu. — FMT