Berita

404 penguat kuasa Maritim Malaysia, 3 personaliti tempatan bakal sertai perbarisan Hari Kebangsaan Ke-67

SERAMAI 350 pegawai lelaki, 15 pegawai wanita bersama 39 orang ahli pasukan pancaragam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan menyertai perbarisan bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 di Dataran Kehakiman, Putrajaya pada pagi esok.

Selain penguat kuasa Maritim Malaysia, kelainan yang ditampilkan Maritim Malaysia pada tahun ini adalah kemunculan istimewa personaliti tempatan iaitu Nabil Ahmad (Maharajalawak), Azad Jasmin (Pelakon) dan Radin Amir Affendy (Penyampai Radio) yang akan turut serta dalam perbarisan bersama warga Maritim Malaysia.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, melalui penyertaan perbarisan ini, masyarakat khususnya komuniti bandar diharapkan akan semakin mengenali identiti Maritim Malaysia selain dapat menarik minat para belia tempatan yang berkelayakan untuk menjadi penguat kuasa Maritim Malaysia.

Saiful dalam pada itu turut menaruh harapan tinggi kepada pegawai dan anggota yang menyertai perbarisan ini dapat memberikan persembahan terbaik pada hari tersebut sekaligus menjadi penanda aras terhadap tahap kecemerlangan dan professional Agensi ini.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Bersama Kontinjen Perarakan dan Perbarisan Maritim Malaysia sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 di sini petang semalam.

Turut hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Kepten Maritim Kehormat Mohd Norzam Mustapa serta Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan Maritim Malaysia, Encik Mohd Nasir Mohamad Mazlan.

Saiful turut berkata, sebagai agensi yang diletakkan di bawah kluster keselamatan, Maritim Malaysia ingin menunjukkan peranan agensi dalam memastikan perairan Malaysia selamat di samping turut membawakan mesej kepada orang ramai bahawa ‘Keselamatan Bukan Untuk Dikompromi’ selari dengan tema yang diangkat Kementerian Dalam Negeri sempena penganjuran Persidangan Penganjuran Keselamatan Negara yang baal diadakan pada 2 September 2024.

Jelas beliau lagi, penyertaan ini juga mencerminkan semangat patriotisme yang tinggi dalam kalangan anggota Maritim Malaysia yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat demi mempertahankan keselamatan perairan negara.

Perbarisan tahun ini turut membabitkan aset Maritim Malaysia iaitu Bot Perkasa 35, Bot Benteng 1, Bot Petir 83, Mobile Surveillance Unit (MSU) serta sebuah aset udara Maritim Malaysia iaitu AS365 N3 Dauphin yang akan turut melakukan flying pass bersama-sama aset udara pasukan keselamatan lain.

Artikel Berkaitan

Back to top button