Berita

43,657 pemilih baharu didaftar secara automatik – SPR

Seramai 7,351 orang pemilih berdaftar pula direkodkan bertukar bahagian pilihan raya dan 2,655 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi

PUTRAJAYA 21 Nov – Seramai 43,657 nama warganegara berusia 18 tahun dan ke atas dalam tempoh sepanjang bulan lalu didaftarkan sebagai pemilih baharu.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, senarai itu terkandung dalam Daftar Pemilih Tambahan Bulan Oktober Tahun 2023 (DPT BLN10/2023) yang diperaku dan diwartakan pada hari ini.

Katanya, seramai 7,351 orang pemilih berdaftar pula direkodkan bertukar bahagian pilihan raya dan 2,655 orang pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

Ikmalrudin Ishak

“DPT BLN10/2023 dibuka untuk semakan selama 30 hari mulai hari ini hingga 19 Disember depan.

“SPR menyeru kepada warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 31 Oktober lalu dan mana-mana pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN10/2023,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Ikmalrudin berkata, SPR menyediakan lima kaedah semakan iaitu melalui portal SPR di https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi pejabat-pejabat pilihan raya negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my atau aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my.

Katanya, semakan turut boleh dilaksanakan melalui aplikasi mudah alih MySPR Semak atau Hotline Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218.

Sekiranya orang ramai mendapati namanya tidak disenaraikan, Ikmalrudin memberitahu, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

“Di samping itu, mana-mana pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya hendaklah mengisi Borang D melalui kaedah sama.

“Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun dari portal pejabat-pejabat pilihan raya negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my.

“(Borang itu) hendaklah dikemukakan kepada pengarah pilihan raya negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN10/2023,” ujarnya.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai urusan semakan DPT BLN10/2023 ini, beliau meminta orang ramai melayari portal rasmi SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau hubungi SPR di talian 03-8892 7218 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button