5 kepimpinan tertinggi PAS menang tanpa bertanding
Abdul Hadi mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden PAS selama 20 tahun
SHAH ALAM 22 Okt – Lima kepimpinan tertinggi PAS sedia ada termasuk Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mengekalkan kedudukan masing-masing bagi sesi 2023 hingga 2025, selepas diumumkan menang tanpa bertanding, pada Muktamar Tahunan PASke-69, di sini hari ini.
Turut diumumkan menang tanpa bertanding ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan tiga lagi pemimpin Naib Presiden iaitu, Datuk Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Abdul Hadi mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden PAS selama 20 tahun selepas mengambil alih jawatan itu pada 2003 daripada Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor.
Sementara, Tuan Ibrahim pula mengekalkan kedudukan sebagai Timbalan Presiden PAS sejak 2015, selepas mengambil alih daripada Datuk Seri Mohamad Sabu.
Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor antara 18 pemimpin yang menang dalam pemilihan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) bagi sesi kali ini.
Muhammad Sanusi menang sebanyak 1,098 undi, diikuti Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari (1,042) dan Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi (1033).
Senarai 15 lagi yang menyertai barisan AJK sesi kali ini ialah Dr Azman Ibrahim; Dr Halimah Ali; Khairil Nizam Khirudin; Datuk Ahmad Marzuk Shaari; Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff; Datuk Awang Hashim; Dr Riduan Mohamad Nor; Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim; Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan; Kamaruzaman Mohamad; Dr Najihahtussalehah Ahmad; Misbahul Munir Masduki; Datuk Iskandar Abdul Samad dan Dr Rosni Adam.
Selain itu, turut menang tanpa bertanding ialah Pengerusi Tetap Muktamar PAS Pusat, Senator Hussin Ismail dan Timbalan Pengerusi Tetapnya, Kamal Ashaari.
Pemilihan pimpinan PAS Pusat sesi 2023 hingga 2025 diadakan pada Jumaat lalu dengan jumlah ahli parti yang keluar mengundi ialah sebanyak 1,141 atau 84.14 peratus, daripada 1,356 yang layak mengundi. – Berita Harian