Berita

55 kanak-kanak GISBH diserahkan semula kepada penjaga

PETALING JAYA: Lima puluh lima daripada 560 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah kebajikan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) telah diserahkan semula kepada penjaga mereka setakat hari ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri.

Menurut laporan Bernama, seramai 560 kanak-kanak – 283 lelaki dan 277 perempuan – berada dalam jagaan sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas mendapatkan perintah perlindungan dari mahkamah.

“Peranan JKM bukanlah untuk memisahkan kanak-kanak daripada ibu bapa mereka. Sebaliknya, tanggungjawab kami adalah untuk melindungi dan menjaga kanak-kanak tersebut,” kata Nancy seperti yang dipetik.

Pada 16 Oktober, beliau dilaporkan berkata bahawa JKM akan memohon kepada mahkamah untuk melanjutkan perintah perlindungan jika tempoh dua bulan semasa tamat sebelum polis menyelesaikan siasatan mereka.

Pembantu Nancy memberitahu FMT hari ini bahawa 55 kanak-kanak itu telah diserahkan semula kepada penjaga mereka berdasarkan nasihat pihak polis.

Ahad lalu, Nancy berkata tiada kanak-kanak yang diserahkan semula kepada ibu bapa atau penjaga mereka kerana kebimbangan mengenai kemungkinan pertikaian hak penjagaan.

Beliau menjelaskan bahawa terdapat kes di mana ibu dan bapa seorang kanak-kanak memfailkan permohonan hak penjagaan yang berasingan.

GISBH sedang disiasat atas dakwaan penderaan kanak-kanak, penderaan seksual, pemerdagangan manusia, pengubahan wang haram, dan ajaran Islam sesat, dengan enam negeri mengisytiharkan ajaran dan amalan kumpulan itu sebagai sesat sepanjang bulan lalu.

Pada 11 September, polis menyerbu rumah kebajikan yang dikaitkan dengan GISBH dan menyelamatkan 402 kanak-kanak. Beberapa kanak-kanak tersebut didakwa telah diliwat dan diajar untuk melakukan serangan seksual terhadap orang lain.

Polis sejak itu telah menyerbu lebih banyak rumah kebajikan yang dikaitkan dengan GISBH, yang sebelum ini mendakwa telah membuang imej lamanya sebagai sayap perniagaan Al-Arqam, sebuah gerakan ajaran sesat yang diisytiharkan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1994.

Lebih daripada 300 orang yang dikaitkan dengan GISBH, termasuk pengurusan tertingginya, telah ditahan dalam operasi baru-baru ini untuk membanteras aktiviti syarikat itu di seluruh negara.

Artikel Berkaitan

Back to top button