Dunia

650 nyawa pesakit terancam di Gaza, Mesir digesa bantu

Gesaan itu dibuat Ketua Pengarah hospital di Gaza, Palestin.

KUALA LUMPUR 13 Nov. – Ketua pengarah hospital di Gaza memberi amaran bahawa nyawa ratusan pesakit di Hospital al-Shifa kini terancam akibat situasi yang teruk dialami kemudahan itu.

Nyawa kira-kira 650 pesakit, termasuk 36 kanak-kanak kini dalam bahaya, kata Muhammad Zaqout pada sidang media, menyeru Mesir menyelamatkan nyawa mereka.

Zaqout turut mengesahkan kehadiran “kira-kira 1,500 orang yang mencari perlindungan di Kompleks Perubatan al-Shifa,” dengan memberi amaran bahawa “longgokan sampah dan sisa perubatan, kekurangan air, dan gangguan bekalan elektrik mengancam nyawa semua orang”.

Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza, Ashraf al-Qudra memberitahu Al Jazeera bahawa Hospital al-Shifa tidak lagi beroperasi sepenuhnya dan tidak dapat memberikan sebarang rawatan walaupun kepada pesakit di dalam kemudahan itu, disebabkan serangan berterusan Israel.

Pengeboman dan tembakan Israel menyasarkan kawasan sekitar kemudahan itu serta sesiapa sahaja yang berjalan di pekarangan dan di antara unit bangunan hospital berkenaan.

“Kami mempunyai kematian di wad neonatal selepas mesin sokongan hayat berhenti berfungsi di dalam bahagian yang merangkumi 37 kanak-kanak lain yang mungkin berada di ambang kematian,” kata al-Qudra.

Beliau menambah, terdapat lima kematian dalam kalangan pesakit cedera kerana pasukan perubatan tidak dapat melakukan operasi pembedahan ke atas mereka kerana bekalan elektrik terputus dan kekurangan bahan api.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Palestin Mai al-Kaila berkata tentera Israel tidak memindahkan orang awam dari hospital.

Sebaliknya beliau mendakwa, tentera rejim secara paksa mengusir pesakit yang cedera dan pesakit lain ke jalanan, menyebabkan mereka menghadapi kematian yang tidak dapat dielakkan.

“Ini bukan pemindahan tetapi pengusiran di bawah ancaman senjata.

“Terdapat malapetaka yang berlaku di hospital, dengan pesakit kini meninggal dunia tanpa menerima rawatan mereka, seperti kanak-kanak dan orang dewasa dengan kegagalan buah pinggang yang meninggal dunia di rumah tanpa menjalani sesi dialisis,” katanya dalam kenyataan media yang dipetik oleh Agensi Berita Palestin Wafa.

Beliau berkata, kesemua 3,000 pesakit kanser yang sedang menerima rawatan di hospital al-Rantisi dan hospital Turkiye telah dibiarkan untuk menghadapi kematian selepas tentera Israel mengusir mereka secara paksa.

Buat masa ini, hanya Hospital Arab al-Ahli menjadi satu-satunya kemudahan itu yang masih berfungsi di Gaza City dan utara Gaza.

pakar bedah di Hospital Arab al-Ahli, Dr Fadel Naim berkata hospital itu kini dibanjiri dengan pesakit. — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button