Berita

68 premis dikesan jual ayam melebihi kadar harga siling – Armizan

Harga terendah pula direkodkan di Pasar raya Mari-Mari Mersing, Johor iaitu pada kadar RM6.49 per kg

PUTRAJAYA 1 Nov – Sebanyak 4.6 peratus atau hanya 68 daripada 1,484 premis yang diperiksa di Semenanjung Malaysia menjual ayam pada kadar melebihi harga siling yang ditetapkan sebelum ini.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, setakat jam 1 tengah hari Rabu, harga ayam tertinggi dikesan dijual di Pasar Basah Rompin, Pahang dan Pasar Basah Manir, Terengganu iaitu RM11 per kilogram (kg).

Menurutnya, harga terendah pula direkodkan di Pasar raya Mari-Mari Mersing, Johor iaitu pada kadar RM6.49 per kg.

Tambah beliau, kementerian akan mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi melihat secara mikro kawasan yang mempunyai jualan di atas harga RM9.40 termasuklah dari segi lokaliti dan jenis premis.

“Kita ingin memastikan penguat kuasa turun ke setiap premis untuk melihat apa isu sebenar mereka, sama ada bekalan dan kos operasi sehingga menyebabkan mereka tidak boleh menjual di bawah harga di bawah RM9.40,” katanya.

Tegas beliau, tindakan pemantauan dilakukan berserta dengan aspek penguatkuasaan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan.

“Tindakan boleh diambil terhadap pemilik premis mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) dan Akta Persaingan 2010 sekiranya harga ayam yang dijual tidak munasabah,” katanya.

Harga siling ayam ditetapkan pada kadar RM9.40 per kg, namun Isnin lalu kerajaan mengumumkan penamatan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam bermula 1 November.

Ia sekali gus menjadikan harga jualan sumber protein itu diapungkan.

Dalam pada itu, Armizan tidak menolak kemungkinan bahawa harga makanan akan meningkat sekiranya ayam mentah dijual pada harga tinggi.

“Itu merupakan satu risiko yang mungkin boleh timbul iaitu kesan kepada industri lain.

“Kalau harga makanan tinggi, sila buat aduan di platform yang disediakan dan kami akan semak pembekal, kos pengeluaran dan keuntungan mereka sebelum tindakan diambil,” katanya.

Aduan boleh disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp di talian 019-279 4317 atau 019-848 8000, menerusi portal aduan e-aduan.kpdnhep.gov.my, hubungi pusat kawalan 1-800-886-800, e-mel di e-aduan@kpdnhep.gov.my atau Ez ADU KPDN. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button