Berita

7 gerai warga asing termasuk jual ‘ubat kuat’ disita

DBKL turut menyita dua gerai membaiki kasut dan sebuah gerai penjaja makanan tanpa permit diusahakan oleh warga asing

KUALA LUMPUR 15 Jan – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita empat gerai menjual ubat ‘kuat’ menerusi operasi di sekitar Jalan Haji Taib, Chow Kit di sini, hari ini.

DBKL dalam satu hantaran di Facebook berkata, pihaknya turut menyita dua gerai membaiki kasut dan sebuah gerai penjaja makanan tanpa permit diusahakan oleh warga asing.

“Tindakan sita serta merta ke atas empat penjaja ubat-ubat dan alatan seks, dua peniaga tukang kasut dan satupenjaja makanan ringan milik warga negara asing yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen.

“Tindakan dijalankan di sekitar Jalan Haji Taib, Chow Kit di sini menerusi Undang-undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016,” menurut hantaran itu hari ini.

DBKL berkata, tindakan secara berterusan akan diadakan bagi membanteras aktiviti perniagaan tidak berlesen.

Katanya, pemantauan berkala akan dijalankan di lokasi hotspot dan tindakan akan diambil menerusi operasi khas yang sudah dirancang membabitkan 11 Parlimen di ibu negara. – Xklusif

Artikel Berkaitan

Back to top button