
Tujuh wanita Malaysia kini sedang ditahan di penjara Narathiwat di selatan Thailand atas kesalahan berkaitan dadah.
Panata Yononarongdetkul, pakar pengurusan jenayah bagi bahagian wanita penjara tersebut, berkata kesalahan mereka termasuk mengambil dadah, memiliki dadah, atau menjadi keldai dadah bagi sindiket pengedaran.
Beliau berkata kebanyakan daripada mereka dipercayai telah diperdaya untuk melakukan kesalahan tersebut selepas ditawarkan barangan mewah dan ganjaran yang lumayan.
“Hampir kesemua wanita ini masih muda, dalam lingkungan usia 20-an. Kami rasa simpati kerana mereka akhirnya merana di dalam penjara akibat kesilapan sendiri.
“Kami ingin menasihati golongan wanita agar tidak mudah terpedaya dengan godaan gaya hidup mewah yang ditawarkan oleh individu tertentu kerana besar kemungkinan ia merupakan helah sindiket dadah,” katanya kepada media melalui seorang penterjemah semasa lawatan khas ke penjara itu baru-baru ini.
Dalam satu kes berasingan, seorang banduan wanita dari Tumpat, Kelantan, yang hanya dikenali sebagai Ana, berkata dia dan teman lelakinya telah ditangkap kerana memiliki dadah di sebuah hotel berhampiran Sungai Golok dua tahun lalu.
Wanita berusia 26 tahun itu berkata dia tidak mengetahui bahawa teman lelakinya membawa dadah pada waktu itu. Dia akhirnya dijatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas didapati bersalah memiliki dadah.
“Saya menyesal kerana terlalu mempercayai teman lelaki tanpa menyedari risiko yang perlu saya tanggung. Ia menjadi pengajaran buat saya,” tambahnya.