807kg dadah paling bahaya dah sampai Malaysia, mujur Kastam pantas bertindak
Kastam merampas 807.9 kilogram (kg) dadah jenis fentanyl dianggarkan bernilai RM44.4 juta, yang diikrarkan sebagai sebatian pewangi di KLIA

NILAI 19 Dis – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 807.9 kilogram (kg) dadah jenis fentanyl dianggarkan bernilai RM44.4 juta, yang diikrarkan sebagai sebatian pewangi di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad, berkata modus operandi sindiket pengedaran dadah antarabangsa itu berjaya dikesan pada tengah malam 9 Disember lalu.
Beliau berkata, bahan terlarang fentanyl dikatakan 100 kali lebih kuat daripada morfin, malah difahamkan boleh mengubah penagihnya menjadi seperti ‘zombi’ jika dicampur dengan dadah lain seperti xylazine.
“Bertindak atas maklumat, pasukan JKDM telah menyita 26 kotak berisi 72 botol aluminium mengandungi bahan cecair disyaki dadah berbahaya jenis fentanyl di Kompleks Kargo Udara KLIA.
“Hasil siasatan awal mendapati ia dihantar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Mumbai, India, dan transit di Kompleks Kargo KLIA sebelum dibawa ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu, menggunakan laluan udara,” katanya sambil memaklumkan ia adalah rampasan pertama pihaknya membabitkan dadah jenis fentanyl setakat ini, pada sidang media di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM, di sini, hari ini.
Berdasarkan rekod, Sazali berkata, dadah terbabit bukan untuk pasaran negara ini tetapi situasi berkenaan tetap membimbangkan.
“Kalau diikutkan, dadah berkenaan sangat kuat, iaitu 100 kali lebih kuat daripada morfin dan 20 atau 40 kali lebih kuat daripada heroin.
“Jika tengok dalam media sosial, ada negara di mana berlaku kes rakyatnya menjadi ‘zombi’ disebabkan dadah jenis itu. Justeru, sangat berbahaya kalau ia berleluasa di negara kita,” katanya.
Sazali berkata, berdasarkan jumlah berat dadah yang dirampas itu, JKDM berjaya membanterasnya daripada disalahgunakan kira-kira 4 juta penagih.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan sepanjang tempoh Januari hingga November tahun ini, JKDM telah menumpaskan 398 kes berkaitan dadah dianggarkan bernilai RM294.37 juta, meliputi jenis heroin, ketamin, kanabis dan methamphetamine. – Bernama