Berita

PM Anwar Kecam Israel Sekat Misi Kemanusiaan Global Sumud Flotilla

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan rejim zionis Israel menyekat misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang disertai lebih 200 aktivis dari 36 negara, dengan menyifatkannya sebagai kejam dan tidak bertamadun.

Menurut Anwar, sekatan seperti itu hanya berlaku apabila sesebuah negara dipimpin dengan falsafah zalim yang menolak nilai kemanusiaan.

“Negara yang bertamadun sekurang-kurangnya akan memberi ruang untuk bantuan kemanusiaan. Tetapi rejim Israel bertindak sebaliknya, malah menghalang sebarang bentuk bantuan,” katanya dalam siaran langsung di Facebook hari ini.

Beliau menegaskan, usaha aktivis GSF membawa mesej besar kepada dunia kerana mereka berani mencabar kepungan Israel ke atas Gaza walaupun sedar kesukarannya.

“Mereka bukan sahaja menentang sekatan, tetapi juga membuka mata ratusan juta rakyat dunia tentang kezaliman Israel. Rejim itu bukan sekadar memusuhi apa yang mereka labelkan sebagai kumpulan ganas, bahkan turut menghalang bantuan kemanusiaan,” jelasnya.

Anwar turut memaklumkan rundingan diplomatik yang dijalankan bukan sekadar memberi tumpuan kepada rakyat Malaysia dan Turkiye, tetapi juga kepada peserta antarabangsa lain termasuk dari Eropah dan Indonesia yang menyertai rombongan tersebut.

Artikel Berkaitan

Back to top button