Aaron ‘warning’ Sharnaaz jangan menyibuk
Sharnaaz Ahmad mendakwa dirinya dan pelakon lain sebagai profesional selain tidak akan menarik diri daripada membintangi filem The Original Gangster.
KUALA LUMPUR 5 April – Pelakon Datum Aaron Aziz menasihati individu yang tidak terbabit dalam isu berkaitan produksi filem The Original Gangster (TOG) arahan Syamsul Yusoff supaya tidak masuk campur.
Terdahulu, pelakon, Sharnaaz Ahmad mendakwa dirinya dan pelakon lain sebagai profesional selain tidak akan menarik diri daripada membintangi filem The Original Gangster (TOG) hanya disebabkan konflik.
“Beritahu dia, tak perlu masuk campur.
“Kepada pelakon atau sesiapa sahaja yang tidak terbabit dengan produksi, jangan masuk campur,” katanya ditemui pada majlis pelancaran rasmi dan jualan promosi pembukaan Jakel Shah Alam di sini, hari ini.
Sebelum ini, Syamsul mengumumkan masalah kesihatan iaitu ‘slip disc’ dan kenaikan berat badan aktor kelahiran Singapura itu menjadi antara sebab Aaron terpaksa digugurkan daripada filem yang masih dalam pembikinan itu.
Bagaimanapun, Syamsul memaklumkan bahawa beliau adalah individu terakhir yang mahu menggugurkan Aaron daripada filem berkenaan.
Kontroversi itu mula diperkatakan apabila Aaron memuat naik hantaran video di Instagram (IG) mendakwa Syamsul enggan berjumpa berhubung isu digugurkan daripada membintangi filem TOG.
Aaron turut mendakwa sudah membuat persediaan termasuk dalam aspek fizikal bagi membintangi naskhah terbabit atas permintaan Syamsul sendiri.
Aaron bagaimanapun kekal dengan pendirian untuk tidak memberi maklum balas berhubung tawaran Syamsul untuk bersemuka menyelesaikan krisis yang timbul.
“Isteri saya (Datin Diyana Halik) minta supaya saya tidak beri sebarang kenyataan lagi. Mungkin isteri saya tahu perangai saya,” katanya.
Aaron berkata lagi, beliau hanya akan menamatkan kemelut antara diriny dan Syamsul sekiranya Syamsul memohon maaf kepada kedua orang tuanya.
“Tak ada sebarang konfrontasi. Saya cakap kepada umum suruh dia minta maaf pada kedua orang tuanya (Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail),” katanya.
Filem TOG terbitan Syamsul Yusof Films dan Razor’s Edge Pictures dibintangi aktor handalan seperti Datuk Rosyam Nor, Yayan Ruhian, Shaheizy Sam dan Soffi Jikan. — Xklusif