Berita

Abdul Hadi dibenar keluar IJN, diminta untuk terus berehat

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Politik Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman.

KUALA LUMPUR 11 Jan. – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sudah dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) di sini dan kini berada dalam keadaan baik.

Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman mengesahkan perkembangan itu sebentar tadi dan berkata Ahli Parlimen Marang berkenaan dinasihatkan untuk berehat.

“Alhamdulillah, ya ayahanda tuan guru sudah dibenarkan keluar dan keadaannya semakin baik.

“Namun, ayahanda tuan guru dinasihatkan untuk terus berehat dan semua diminta memberikan ruang kepadanya,” katanya.

Abdul Hadi, 76 dimasukkan kepada IJN pada 1 Januari lalu bagi melakukan pemeriksaan susulan mengikut rutin kesihatan seperti ditetapkan.

Sepanjang hampir 10 hari dirawat, beliau tidak dibenarkan menerima pelawat.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut tidak dapat menemuinya ketika melawatnya di hospital berkenaan pada 5 Januari lalu.

Bagaimanapun, Abdul Hadi dikatakan masih menulis melalui laman sosial Facebook (FB) Minda Presiden PAS. — Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button