Berita

‘Ada gula dalam enjin’, wanita kecewa kereta baru beli 8 jam dah masuk bengkel

Nagakanni mendakwa, dia tidak pernah membawa sebarang makanan atau gula di dalam tempoh lapan jam selepas menerima kereta itu

KUALA LUMPUR 3 Jan –  Kegembiraan memiliki kereta baharu bertukar hampa selepas seorang wanita mendakwa kenderaan yang dibelinya itu rosak dalam tempoh tidak sampai lapan jam.

Lebih mengecewakan, Nagakanni Subramaniam terpaksa membayar pinjaman bulanan ‘kereta baharunya’ itu sebanyak RM537 walaupun kenderaan itu kini terbengkalai di pusat servis.

Berkongsi kisahnya di laman Facebook, Nagakanni berkata, dia mendakwa, membeli kereta itu dari sebuah pusat jualan kenderaan di Segamat, jam 11 pagi, pada 17 Oktober lalu.

Bagaimanapun, lapan jam kemudian ketika mahu menghidupkan enjin keretanya itu, komponen utama dalam kenderaan tersebut tidak dapat berfungsi.

“Sehari selepas itu, kereta saya dibawa ke pusat servis di Segamat dan mekanik di sana memaklumkan bahawa enjin kereta saya telah rosak.

“Saya telah memohon untuk menggantikan kereta baharu dan saya diminta untuk menunggu keputusan dari ibu pejabatnya yang memerlukan tempoh dua minggu hingga sebulan.

“Pada 9 November pula, individu dikenali sebagai Suffian dari ibu pejabat menghubungi saya dan memaklumkan bahawa berdasarkan penyiasatan awal, enjin kereta saya rosak disebabkan ada benda asing seperti gula dan menyatakan bahan itu tidak digunakan oleh pengeluar kereta itu,” katanya dalam hantaran itu.

Nagakanni mendakwa, dia tidak pernah membawa sebarang makanan atau gula di dalam tempoh lapan jam selepas menerima kereta itu apatah lagi mengusik bahagian enjin kenderaan tersebut.

Bercerita lanjut, Nagakanni berkata, dia sekali lagi dihubungi Sufian itu dan dimaklumkan untuk membuat pinjaman baharu bagi mendapatkan kereta yang baharu, pada 15 November lalu.

“Saya kata saya boleh buat pinjaman baharu hanya selepas dia selesaikan pinjaman lama saya terlebih dahulu kerana sehingga hari ini saya masih bayarkan pinjaman kereta yang rosak itu.

“Namun pada 4 Disember, jurujual dari pusat jualan di Segamat meminta dokumen daripada saya untuk membuat pinjaman kedua tetapi saya menolak permintaan itu kerana pinjaman pertama saya masih belum diselesaikan.

“Sejurus itu pada 8 Disember, khidmat pelanggan memberitahu bahawa cadangan akhir belum dipersetujui dan ibu pejabat sedang menyelidik kesilapan dalaman dan mereka belum boleh beri persetujuan hitam putih untuk tukar kereta saya dengan yang baharu,” jelasnya.

Nagakanni berkata, sehingga kini dia masih belum menerima sebarang jawapan daripada pengeluar kereta itu walaupun tempoh telah melebihi dua bulan.

“Saya masih perlu membayar pinjaman kereta setiap bulan. Saya harap sangat kawan-kawan di Facebook berkongsikan ‘posting’ ini supaya dapat diselesaikan isu ini.

“Saya hanya lawan untuk mempertahankan hak saya,” tegas Nagakanni,” katanya. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button