Ada yang selamba diamkan diri terima zakat bulanan walau sudah tidak layak
Mohd Na'im menjelaskan, proses pemutihan perlu dilaksanakan berikutan ada individu yang masih mendapat bantuan zakat bulanan walaupun tidak lagi layak menerimanya

KUALA LUMPUR 27 Jan – Pelaksanaan proses pemutihan akan dipercepatkan untuk memastikan asnaf benar-benar layak dan memerlukan saja yang menerima bantuan zakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata, ia selaras arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya tindakan pemutihan berkenaan disegerakan.
“Setakat ini, kita belum ada data (berapa ramai didapati tidak layak tetapi masih menerima bantuan zakat). Apabila ada data sebenar nanti, kita akan umumkan.
“Proses pemutihan itu sentiasa dilakukan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) tetapi Perdana Menteri pada sesi pemukiman Jemaah Menteri, dua minggu lalu, turut mengarahkan perkara sama. Maka dengan arahan itu, kita akan mempercepatkan lagi proses pemutihan terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Ziarah Asnaf dan Penyerahan Sumbangan Ambulans Kepada Bulan Sabit Merah Malaysia Kuala Lumpur (BSMMKL), di Perumahan Awam Seri Selangor, di sini, hari ini. Yang turut hadir ialah Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im menjelaskan, proses pemutihan perlu dilaksanakan berikutan ada individu yang masih mendapat bantuan zakat bulanan walaupun tidak lagi layak menerimanya.
“Saya mendapat maklumat ada individu yang sudah terlepas (kelayakan) dalam kategori asnaf, namun bantuan masih masuk ke dalam akaun mereka. Mereka ini bertindak mendiamkan diri.
“Apabila kita membuat pemutihan, (bantuan zakat) akan diberikan kepada mereka yang layak menerimanya,” katanya.
Sementara itu, Mohd Na’im turut memaklumkan kadar baharu bantuan zakat dijangka diumumkan pada Jun depan, selari peningkatan kos hidup semasa kini.
“Insya-Allah, MAIWP sudah memulakan semakan bagi kadar bantuan zakat. Ketika ini, ia masih pada peringkat kajian. Ia sudah (dinaikkan sebelum ini) dan insya-Allah pada Jun depan, kita akan memperkenalkan kadar baharu,” katanya.
Mengenai rungutan masyarakat berhubung kerenah birokrasi, khususnya terhadap asnaf yang memerlukan bantuan, beliau berkata, MAIWP sentiasa menambah baik perkhidmatannya dari semasa ke semasa.
“Selain itu, apabila saya turun padang, misalnya bertemu sendiri asnaf seperti pada acara hari ini, ia membantu mencari jalan bagaimana untuk memudahkan proses (mendapatkan bantuan zakat).
“Dalam lawatan ke rumah asnaf pada hari ini, kita dapat mengetahui apa yang mereka perlukan. Sebagai contoh dalam kes seorang asnaf yang diziarahi, kita akan meminta pusat kesihatan datang ke rumah beliau untuk melawat dan mengeluarkan surat perubatan berkaitan status anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) terlantar,” katanya.
Pada program hari ini, Mohd Na’im mengunjungi tiga kediaman asnaf di Perumahan Awam Sri Selangor, selain turut menyempurnakan sumbangan MAIWP membabitkan sebuah ambulans bernilai RM250,000 kepada BSMMKL. – Berita Harian