Berita

Ada yang takut saya dapat kredit jika laksana GEG – KJ

KJ berkata ada sesetengah pihak yang lebih risau dirinya akan mendapat kredit jika dasar itu dilaksanakan berbanding nyawa rakyat yang saban hari dipertaruhkan

KUALA LUMPUR 15 Nov – Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyelar tanggapan sesetengah pihak yang masih menentang pelaksanaan dasar Rang Undang-Undang (RUU) Generasi Penamat Perokok (GEG).

Menerusi hantaran di InstaStorynya, beliau berkata ada sesetengah pihak yang lebih risau dirinya akan mendapat kredit jika dasar itu dilaksanakan berbanding nyawa rakyat yang saban hari dipertaruhkan.

“Saya terdengar seorang ahli parlimen kanan di parlimen berkata, ‘Kenapa kita perlu sokong GEG? Kita akan kehilangan hasil daripada duti ke atas rokok. Dan jika kita lulus, KJ (Khairy Jamaluddin) akan mendapat kredit’.

“Kerdil dan kecil pemikirannya. Ini bukan tentang siapa yang mendapat kredit. Cuba bayangkan, kerajaan mengutip kira-kira RM5 bilion daripada duti ke atas rokok.

“Tetapi kos rawatan penyakit berkaitan merokok adalah RM6 bilion setahun dan akan meningkat kepada RM8 bilion dalam beberapa tahun akan datang,” tulisnya.

Ujarnya yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau, kos perbelanjaan yang dikeluarkan itu termasuklah rawatan penyakit kardiovaskular, kanser paru-paru dan penyakit lain yang berkaitan dengan merokok.

“Jadi kerajaan sudah berbelanja lebih banyak untuk merawat hasil kesihatan negatif merokok daripada jumlah cukai yang dikutip daripada rokok.

“Tidak hairanlah, tiada siapa yang mahu anda kembali sebagai menteri (persekutuan atau negeri). Tidak berminat untuk menyelamatkan nyawa. Berfikir tentang politik 24 jam. Matematik pun gagal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa agar melaksakanakan GEG dengan segera demi menyelamatkan lebih banyak nyawa.

“Teruskan menyokong GEG semua. Ini akan menjadi salah satu undang-undang yang paling penting untuk kesihatan awam.

“Dr. Zaliha tolong buat. Kredit akan menjadi milik anda sepenuhnya. Mari kita selamatkan beberapa nyawa,” katanya.

GEG ialah dasar baharu yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan bagi mewujudkan generasi baru yang bebas tabiat merokok termasuk penggunaan rokok elektronik terutama generasi muda yang lahir selepas 2007.

Pada 5 Okt lalu, Dr. Zaliha berkata, Pembentangan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau RUU GEG tersebut akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Parlimen pada 10 Oktober.

Bagaimanapun, pada tarikh tersebut, pembentangan itu ditangguhkan kepada suatu tempoh yang tidak dimaklumkan.

Ketika ini, RUU itu masih terkandung dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat yang bersidang bermula semalam hingga 30 November depan. – Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button