Ada yang ugut MP Kuala Kangsar supaya sokong kerajaan – Hamzah
Semalam, Iskandar Dzulkarnain memutuskan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan serta-merta
KUALA LUMPUR 13 Okt – Perikatan Nasional (PN) mendakwa Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid diugut atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media yang disediakan lebih awal menyokong kerajaan.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa, pada 1 Oktober lalu, wakil rakyat itu dipercayai dibawa bertemu dengan seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media berkenaan.
Katanya, malah sebelum itu pada 26 September lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar berkenaan juga didatangi seorang taikun perniagaan bergelar Tan Sri yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri di sebuah lokasi sekitar Damansara.
“Beliau telah ditekan dan didesak untuk menyokong Perdana Menteri serta dijanjikan habuan wang ringgit dan kedudukan dalam beberapa syarikat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Iskandar Dzulkarnain memutuskan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan serta-merta.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya.
Menurut Hamzah, malah ketika pertemuan bersama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu juga kelihatan amat tertekan akibat intimidasi yang dikenakan terhadap beliau.
Justeru itu, beliau menegaskan PN mengutuk keras tindakan Kerajaan Madani yang berterusan menyalahgunakan kuasa bagi melakukan intimidasi serta ugutan terhadap pemimpin pembangkang.
“Adalah dipercayai bahawa intimidasi dan ugutan inilah yang digunakan ke atas Ahli Parlimen Kuala Kangsar bagi mendapat sokongan agar kerajaan Madani kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen.
“Perikatan Nasional mendesak kerajaan Madani menghentikan tindakan salah guna kuasa dan intimidasi terhadap semua ahli Parlimen. Amalan seperti ini amat bertentangan dengan prinsip demokrasi yang diamalkan dalam sebuah negara yang menjunjung tinggi keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.
Pada masa sama, Hamzah berkata, PN kesal di atas kenyataan media yang dibuat secara terburu-buru Ahli Parlimen Kuala Kangsar dengan menggunakan hujah peruntukan pembangunan sebagai alasan amat berbeda dengan penjelasan yang diberikan kepada beberapa pemimpin parti.
Katanya, PN mengambil maklum ketetapan Mesyuarat Biro Politik Bersatu untuk memanggil Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu bagi mendapatkan penjelasan sebelum mengambil tindakan selanjutnya. – UTUSAN