Berita

Adakah Anwar ketinggalan zaman?

KUALA LUMPUR, 4 Jun – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini menyatakan bahawa murid sekolah perlu membersihkan tandas  sebagai cara  memastikan diri mereka ditanam dengan nilai-nilai murni sejak kecil.

Ini adalah idea yang sangat pelik kerana nilai-nilai murni sepatutnya diajar menerusi sesi pembelajaran dalam bilik darjah dan bukannya di tandas.

Anwar patut sedar yang kita berada pada tahun 2023, bukan pada era 80-an atau 90-an ketika idea tersebut baru nak diperkenalkan.

Kita mempunyai infrastruktur dan tenaga kerja yang mencukupi untuk memastikan tandas sekolah kekal bersih.

Guru-guru sekolah dan persatuan ibu bapa lebih peka sekarang berbanding 30 hingga 40 tahun lalu yang mana mereka sanggup mengeluarkan wang untuk membayar tukang bersih dan pengawal keselamatan di sekolah-sekolah.

Dalam ucapan di perasmian sebuah medan selera pada semalam, Anwar mengkritik golongan ibu bapa yang kaya dan berkemampuan kerana tidak mahu anak-anak mereka membersihkan tandas sekolah.

“Jika anda tidak mahu bersihkan, kita boleh beri pilihan. Anda boleh memilih untuk tidak membersihkannya, tapi tidak boleh menggunakan tandas itu jika terdesak,” katanya.

Beliau berkata, ramai kanak-kanak golongan ‘kayangan’ tidak mempunyai rasa hormat atau prihatin terhadap kesukaran harian yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah, dan konsep Malaysia Madani beliau tidak akan bertolak ansur dengan tingkah laku sedemikian.

Ada yang mulai meragui sama ada konsep Madani yang diperkenalkan oleh Anwar adalah untuk mengubah tingkah laku dalam kalangan rakyat Malaysia, dan jika ya, apakah lagi yang perlu kita ubah?

Kita sepatutnya bergerak maju, bukan ke belakang. Langkah-langkah telah diambil untuk memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif di sekolah, termasuk tandas yang bersih.

Wang telah digunakan untuk menaik taraf kemudahan sekolah terutamanya tandas, paip, saliran, dan sebagainya.

Bajet tahunan sentiasa menekankan perkara ini. Apa yang belum dilakukan adalah memastikan kualiti dengan wang yang dihabiskan. Kontraktor selalu menggunakan bahan “kelas kedua” apabila menjalankan projek seperti ini kerana mereka ingin meraih lebih banyak untung.

Mereka mempunyai hubungan dengan pihak berkuasa yang memberikan sijil kebenaran untuk tandas yang perlu mereka ubah suai. Tak kisah sama ada kualiti bahan rendah dan murah, asalkan projek selesai.

Jelas bahawa produk berkualiti rendah ini berpotensi untuk rosak dengan cepat seperti di sekolah. Perkara ini yang menyebabkan masalah kebersihan.

Anwar ibarat berfikir 30 tahun ke belakang jika dia mahu menagani isu moral ini berbanding memastikan persekitaran pembelajaran yang kondusif di sekolah.

Anak-anak kita tidak perlu mencuci tandas untuk belajar tentang kemanusiaan. Kemanusiaan boleh dipelajari di mana-mana dan harus datang dari dalam diri. Ia harus ditanam dalam kurikulum pendidikan kita. Kesedaran semua harus diberi penekanan.

Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan harus mengajar anak-anak nilai-nilai kehidupan. Membersihkan tandas sekolah sekali sebulan tidak akan mengubah apa-apa. Mengubah sistem pendidikan kita akan mengubah banyak perkara di masa depan.

Anwar dalam majlis itu mengakui bahawa idea ini diajukan ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan dan bagi mereka yang tidak tahu, itu adalah pada tahun 1986, lebih 37 tahun yang lalu. Banyak perkara telah berubah sejak itu.

Negara telah maju dan sedang berusaha mencapai status negara maju dari segi pembangunan, tetapi yang tidak berubah, sayangnya, adalah pemikiran beberapa segmen penduduk Malaysia dalam hal kesedaran warganegara dan penjagaan alam sekitar. Ini memerlukan perhatian.

Benar, beberapa negara seperti Jepun mengajar kanak-kanak seawal empat atau lima tahun untuk menjaga kebersihan dan mencintai alam sekitar, tetapi kita bukan Jepun!

Kita mempunyai cara kita sendiri untuk melakukan sesuatu dan meminta kanak-kanak membersihkan tandas sekolah pastinya bukan cara yang sesuai.

Artikel Berkaitan

Back to top button