Adik temui abang maut dengan kesan tikaman di Sungai Buloh
Mayat lelaki berusia 21 tahun itu ditemui adiknya yang mendapati terdapat kesan tompokon darah berhampiran mangsa
SUNGAI BULOH 14 Dis – Seorang lelaki ditemui meninggal dunia dengan beberapa kesan tikaman pada badan di rumahnya di Kampung Baru Subang, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira 2 petang tadi.
“Mayat lelaki berusia 21 tahun itu ditemui adiknya yang mendapati terdapat kesan tompokon darah berhampiran mangsa.
“Pemeriksaan terhadap mayat lelaki yang tidak bekerja itu mendapati terdapat beberapa kesan tikaman dan kami juga menemui senjata iaitu pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Shafa’aton berkata, menurut ahli keluarga lelaki itu, sebelum kejadian mangsa ada memaklumkan dia mengalami tekanan.
“Mayat lelaki berkenaan dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.
“Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. – Harian Metro