Berita

‘Adik tunggu…ayah dah nak pergi’ – Anak pemandu teksi ditemui maut

Pemandu teksi yang ditemui maut sempat beri pesanan kepada anaknya petanda akan pergi buat selamanya

KUALA TERENGGANU 11 Ogos – Ayah pesan suruh tunggu, ayah dah nak pergi dah. Itu kata-kata terakhir pemandu teksi yang ditemui maut, Mohd Latif Idris, 51, kepada anak bongsunya, Eliy Syazwani, 16, selepas mengambil anaknya itu pulang dari sekolah, petang semalam.

Mohd Latif adalah pemandu teksi yang ditemui maut dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian belakang dalam kejadian berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir di sini semalam.

Menurut Eliy, menjadi rutin harian bapanya menghantarnya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Nilam setiap hari.

“Hari itu, macam biasa ayah ambil saya di sekolah dan hantar pulang ke rumah tetapiayah tiba-tiba bercakap macam itu.

“Ketika itu, memang tak syak apa-apa tetapi bila kejadian ini berlaku ia, ia macam pesanan kepada saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Parit di sini, hari ini.

Sementara itu, Noor Azlina Ramli, 41, berkata, suaminya ada membuat panggilan telefon kira-kira 8 malam memaklumkannya dia dalam perjalanan pulang dari Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, pada hari kejadian, suaminya keluar dari rumah kira-kira 9 pagi dan pulang pada jam 1 tengah hari untuk mengambil anak bongsu di sekolah.

“Arwah kemudian keluar semula kira-kira 2.30 petang untuk menghantar barang dan dia ada menghubungi saya pada 8 malam memaklumkan dia dalam perjalanan pulang.

“Ketika itu, saya tidak bertanya dia berada di mana dan hanya mengetahui kejadian itu selepas ia tular di Facebook dan WhatsApp sebelum bergegas ke lokasi kira-kira 11.15 malam.

“Memang terkejut sebab kejadian berlaku tiba-tiba dan saya harap pelakunya dikenakan hukuman setimpal,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditemui maut dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian belakang dalam kejadian berhampiran Klinik Kesihatan Seberang Takir di sini.

Mangsa berusia 51 tahun itu ditemui di tempat duduk belakang teksi dengan keadaan berlumuran darah.

Difahamkan, saksi kejadian memberitahu teksi berkenaan didapati dipandu melawan arus sebelum orang ramai menemui mayat mangsa berada di bahagian tempat duduk belakang.

Suspek juga dikatakan mengakui membunuh pemandu berkenaan selain dia ditemui dalam keadaan berlumuran darah disyaki kesan percikan darah mangsa.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Abdul Rahim Md Din berkata suspek berumur 29 tahun sudah pun ditahan dan siasatan lanjut sedang dijalankan. — Harian Metro

Artikel Berkaitan

Back to top button