Aduan letupan di tapak pembinaan, DBKL arah henti projek kondo J Satine
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengarahkan kerja-kerja pembinaan di tapak pembinaan J Satine di Wangsa Maju dihentikan susulan laporan berlaku letupan di tapak berkenaan disebabkan kegagalan struktur di Blok C.
Dalam kenyataannya hari ini, DBKL berkata siasatan tapak dijalankan oleh pihaknya dan mendapati terdapat keretakan pada struktur ‘shear wall’, tiang dan lantai pada unit-unit yang berada di tingkat 8 dan ke atas.
Sehubungan itu, DBKL menerusi satu notis di bawah seksyen 70B(2), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) telah dikeluarkan kepada pihak perunding serta mengarahkan supaya diambil beberapa tindakan termasuk memberhentikan semua kerja-kerja pembinaan.
Tindakan lain, menyelenggara tapak bina supaya berada di dalam keadaan bersih dan selamat, melantik jurutera bebas bagi menjalankan pemeriksaan integriti struktur keseluruhan pembangunan J Satine, mengemukakan laporan iaitu hasil dari pemeriksaan integriti struktur serta menjalankan kerja-kerja rektifikasi berdasarkan pengesyoran daripada jurutera bebas.
Menurut DBKL, tempoh pemberhentian pembinaan projek adalah berdasarkan kepada pelaksanaan perkara diarahkan.
“Punca letupan dan kegagalan struktur belum ditentukan sehingga laporan integriti struktur dikemukakan kepada DBKL.
“DBKL mengambil perhatian serius terhadap insiden yang berlaku. Orang awam dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi dan mengeluarkan kenyataan tidak berasas khususnya melalui saluran media sosial,” katanya.
DBKL menerima aduan Khamis lalu daripada penduduk PPR Wangsa Sari berkaitan suatu letupan di tapak pembinaan J Satine.