Aeril Zafrel jual ‘Lambo’ Kuning, niat sedekah sebahagian hasil kepada Palestin
Perkara berkenaan dikongsikan oleh usahawan tersebut melalui satu hantaran Instagram Story menerusi akaun rasminya (@aeril_zafrel) semalam

KUALA LUMPUR 19 Okt – Pelakon popular, Aeril Zafrel baru-baru ini mencuri perhatian pengguna media sosial apabila membuat keputusan untuk menjual kereta kesayangannya jenis Lamborghini yang berwarna kuning.
Menurut suami kepada pelakon wanita, Wawa Zainal itu lagi, sebahagian daripada hasil jualan kenderaan tersebut akan disumbangkan kepada Palestin.
Perkara berkenaan dikongsikan oleh usahawan tersebut melalui satu hantaran Instagram Story menerusi akaun rasminya (@aeril_zafrel) semalam.
Dalam hantaran tersebut, Aeril menunjukkan kereta Lamborghini Aventador berwarna kuning telah dibawa keluar daripada kawasan parkir.
Difahamkan, kereta mewah itu merupakan kereta pemberian isterinya yang juga merupakan seorang usahawan berjaya.
“Selamat tinggal ‘Lambo’. Jarang sangat pakai kereta ni. Jual je lah. Insya-Allah, sebahagian hasil ni kita derma dekat Palestin,” jelas Aeril dalam hantaran tersebut.
Aeril nama sebenarnya, Suhairil Sanuri juga dilihat merasa sedih apabila melihat keretanya meninggalkan perkarangan rumahnya dan mula menyusur di atas jalan raya.
“Bye bye kuning (nama panggilan kereta tersebut),” tulis Aeril dalam hantaran Instagram Story seterusnya dengan emoji sedih.
Dua jam selepas melepaskan kereta mewah kesayangannya, pelakon drama bersiri Jibril itu telah memuat naik imej berupa resit transaksi banknya.
Dalam tangkap layar itu, beliau telah membuat transaksi berupa sumbangan sejumlah wang kepada badan bukan kerajaan Cinta Gaza Malaysia.
Sungguhpun begitu, jumlah sumbangan tersebut telah dikaburi dengan emoji Palestin.
Beliau juga berkesempatan menyeru orang ramai untuk menyalurkan sumbangan kepada penduduk-penduduk di Palestin. – Xklusif