Uncategorized

Agong seru rakyat imbau semangat cinta negara

Agong bertitah, keutuhan perpaduan merupakan kunci utama kepada kestabilan dan kemakmuran negara serta benih dan sumber kekuatan bagi menghadapi apa jua cabaran semasa dan mendatang.

KUALA LUMPUR 31 Ogos – Perpaduan antara berbilang bangsa dan kaum adalah kunci utama kepada keharmonian dan kesejahteraan rakyat serta negara titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi hantaran di Facebook rasmi Istana Negara, hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, perkara itu bersesuaian dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini iaitu ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuh Harapan’.

Malah, Yang di-Pertuan Agong bertitah, keutuhan perpaduan merupakan kunci utama kepada kestabilan dan kemakmuran negara serta benih dan sumber kekuatan bagi menghadapi apa jua cabaran semasa dan mendatang.

Seri Paduka turut menyeru rakyat mengimbau kembali lebih enam dekad yang lalu di mana semangat kenegaraan dan cintakan tanah air telah menyatupadukan rakyat sekaliannya dengan tekad dan iltizam sehingga kemerdekaan yang diidamkan menjadi realiti.

“Seri Paduka juga menyeru rakyat menghargai dan menghayati jasa para pemimpin, pejuang dan patriot kemerdekaan negara memupuk perpaduan rakyat serta anggoa pasukan keselamatan mempertahankan kedaulatan negara.

“Justeru, adalah menjadi tanggungjawab bersama pemimpin dan rakyat dalam bukan sahaja memelihara dan mengukuhkan lagi keharmonian serta pepaduan yang dikecapi selama ini, malah menyemarakkannya lagi sesama kita,” titah Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar Malaysia terus dilimpahi kemakmuran, kesejahteraan dan perpaduan yang berkekalan serta dilindungi daripada sebarang bentuk musibah dan bencana.

Seri Paduka berdua turut menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Kebangsaan 2023 kepada seluruh rakyat Malaysia di negara ini mahupun yang berada di luar negara.

Seri Paduka berdua merafak kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya baginda berdua dan seluruh rakyat Malaysia dapat bersama-sama meraikan ulang tahun hari bersejarah ini pada usia kemerdekaan negara menginjak ke-66 tahun, dalam suasana harmoni serta aman dan damai. — Xklusif

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button