Ahli Parlimen perlu belajar dengan rakyat apa erti sopan – Anwar
Perdana Menteri berkata, biarpun persoalan yang dikemukakan dilihat tegas dan kritikal, pertanyaan terbabit disuarakan dengan baik dan tidak keterlaluan

PUTRAJAYA 11 Dis – Ahli Parlimen wajar mencontohi sikap rakyat yang beradab ketika mengemukakan persoalan dengan sopan dan berakhlak, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, biarpun persoalan yang dikemukakan dilihat tegas dan kritikal, pertanyaan terbabit disuarakan dengan baik dan tidak keterlaluan.
“(Apa) yang baiknya kalau ikut budaya masyarakat kita, umumnya orang bertanya kadang-kadang soalannya agak kritikal, tetapi sopan kerana soal nilai dan akhlak itu dipertahankan.
“Sebab itu kadang-kadang Ahli Parlimen harus belajar dengan rakyat mengenai apa erti sopan, erti (bertanya) soalan yang menetapkan soal akhlak dan nilai,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed.
Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada sesi dialog yang dihadirinya pada majlis perasmian penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, di perkarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Anwar berkata, segelintir Ahli Parlimen dilihat keterlaluan ketika menyuarakan pandangan atau persoalan termasuk menerusi media sosial.
Selain itu, Perdana Menteri mengimbau soalan ditanyakan hadiri ketika program berkenaan yang bertanya kenapa beliau sering menggunakan al-Quran dan hadis ketika berbicara mengenai MADANI.
“Saya jawab sebagai (seorang beragama) Islam tentunya bersandarkan al-Quran dan hadis, tetapi ia tidak bermaksud eksklusif kerana mesejnya umum kepada negara dan rakyat.
“Ini bukan soal akidah atau ibadah, ini pemikiran mengenai kemanusiaan, manusiawi itu harus diterapkan melihat keperluan semasa yang kita hadapi,” katanya.
Beliau turut memetik falsafah Yunani mengenai ‘Golden Mean’ dan ahli falsafah Confusius yang tidak melampau serta tidak mengambil sikap ekstrem.
“Itu semuanya memberi mesej yang sama bahawa dalam hidup harus dipertahankan kesederhanaan dan kesederhanaan itu maknanya sikap itu tidak melampau tetapi sentiasa diangkat darjat serta martabat,” katanya. – Berita Harian