Berita

Ahli Parlimen perlu bercakap untuk rakyat, bukan parti politik

Speaker Dewan Rakyat mahu ahli Parlimen meningkatkan kualiti perbahasan.

KUALA LUMPUR 30 Nov. – Menjelang hari terakhir persidangan Dewan Rakyat pada hari ini, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul mahu Ahli Parlimen menghapuskan politik kepartian dan meningkatkan kualiti perbahasan pada sesi akan datang.

Beliau berkata setiap ahli parlimen bertanggungjawab mengetengahkan hasrat rakyat di kawasan yang diwakili dan tidak seharusnya hanya menjadi juara kepada parti politik masing-masing semasa perbahasan.

“Saya ingin mengingatkan mereka bahawa mereka dibayar untuk datang ke Dewan Rakyat untuk bercakap bagi pihak rakyat. Masa anda masuk (sesi), itu hak masa rakyat dan anda perlu bercakap untuk mereka.

“Kalau kita mula jadi pelawak, pelawak di Parlimen, lama-kelamaan masyarakat akan mengejek kita dan apa yang berlaku di Parlimen… ini yang kita nak elakkan,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV pada Rabu.

Johari berkata Ahli Parlimen juga perlu mempersiapkan diri dengan membaca perkara-perkara yang akan dibawa ke Dewan supaya perbahasan itu lebih membuahkan hasil dan matang, sekali gus membawa kepada perbincangan yang lebih substantif.

“Sebagai contoh, mungkin ada RUU yang dibentangkan oleh menteri yang cacat. Dengan hujah yang baik, menteri akan membuat perubahan dan pindaan yang perlu berdasarkan pandangan yang diberikan,” kata Johari, yang juga bekas Ahli Parlimen Sungai Petani untuk tiga penggal.

Bagi tujuan itu, Johari berkata Parlimen kini dalam proses menyediakan sesi latihan mengenai cara bertanya dan cara menyediakan soalan kepada Ahli Parlimen bagi persidangan Dewan Rakyat akan datang, yang dijadual diadakan pada Februari tahun depan.

Johari berkata pihaknya kini dalam proses menyediakan Parlimen Belia yang lebih sistematik bagi meningkatkan minat dan penglibatan golongan muda.

“Saya sedang sediakan kaedah bagaimana mereka boleh bertanding. Jumlah (Ahli Parlimen Belia) adalah 222, sama seperti di Parlimen (Dewan Rakyat). Kita lihat bagaimana masyarakat belia boleh terlibat dalam memilih Ahli Parlimen Belia ( bagi kawasan pilihan raya masing-masing).

“Harapan kita selepas mereka masuk ke Parlimen Belia, mereka akan menjadi ahli Dewan Rakyat daripada parti yang mereka sukai. Akhirnya, kita boleh lihat anak muda memenuhi Parlimen dengan kualiti yang berbeza mulai sekarang,” katanya.

Mengulas kejayaan Parlimen tahun ini, Johari berkata antara yang membanggakan beliau ialah pemerkasaan peranan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas yang berjaya mengadakan lebih 100 mesyuarat selain membuka Parlimen kepada umum melalui hari terbuka. — Berita Harian

Ikuti Xklusif di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!

Artikel Berkaitan

Back to top button