Politik

Ahmad Samsuri boleh jadi PM jika PN pujuk UMNO

Perkara itu dimaklumkan MKT UMNO, Isham Jalil.

KUALA LUMPUR 4 Dis. – Seorang pemimpin Umno berkata Ahmad Samsuri Mokhtar boleh menjadi perdana menteri jika Perikatan Nasional (PN) berjaya memujuk Umno bermuafakat semula sebelum PRU16.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Isham Jalil, berkata dengan bertautnya kembali kerjasama dua parti terbesar Melayu dan Islam itu, “tidak mustahil kerajaan perpaduan akan tumbang dan digantikan dengan kerajaan muafakat dalam masa terdekat”.

“Jika Umno tidak sokong, maka PN tidak akan boleh bentuk kerajaan sebelum PRU16.

“Walaupun Umno hanya mempunyai 26 kerusi, apa-apa ‘permutasi’ pun memerlukan 26 kerusi Umno ini untuk menukar dan membentuk kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kemenangan besar Samsuri yang lebih dikenali sebagai Dr Sam di PRK Kemaman Sabtu lalu dengan majoriti 37,220 undi, meningkat lebih 10,000 undi berbanding PRU15 dan disebut-disebut sebagai calon perdana menteri masa depan PN.

Bagaimanapun, Isham berkata sebarang perubahan dalam landskap politik bergantung kepada tindakan PAS selepas ini atau parti dipimpin Abdul Hadi Awang itu boleh menunggu empat tahun lagi untuk menjadi perdana menteri.

Pada 27 Nov, Muhyiddin Yassin dalam siri kempen PRK Kemaman berkata beliau tidak menolak Samsuri yang juga naib presiden PAS sebagai calon perdana menteri masa depan PN.

Pengerusi PN berkata, pemilihan menteri besar Terengganu itu sebagai calon PRK Kemaman antara langkah strategik untuk memberi gambaran bahawa gabungan tersebut tidak ketandusan pemimpin wibawa.

Menurut Isham, keputusan di Kemaman menunjukkan PN dan PAS berjaya meningkatkan sokongan Melayu daripada 58% (PRU15) kepada 70% pada PRN dan PRK.

Beliau turut memberi amaran jika keadaan itu berterusan besar kemungkinan PN akan merampas semua 26 kerusi Parlimen milik Umno pada PRU16.

“Ini menjadikan PAS parti terbesar dalam Parlimen dan membolehkan Dr Sam menjadi perdana menteri ke-11 dalam tempoh empat tahun lagi,” katanya. — FMT

Artikel Berkaitan

Back to top button