Politik

Ahmad Zahid nafi wujud tiga ‘puak’ dalam UMNO

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan wujud beberapa kem dalam kalangan calon yang bertanding pada pemilihan UMNO kali ini.

Presiden UMNO itu sebaliknya menegaskan hanya wujud satu kem dalam parti itu, iaitu kem UMNO Malaysia.

“Ada kem, satu kem sahaja, kem UMNO Malaysia. Memang tak wujud pun (dakwaan wujud tiga kem),” katanya, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ditemui pemberita ketika melawat Kompleks Industri Makanan MARA (KIMAR) di Batu Caves, di sini.

Semalam, Xklusif mengeluarkan satu artikel mengenai  pandangan penganalisis politik yang melihat akan wujud tiga puak dalam kalangan calon bertanding pada pemilihan UMNO bulan depan, iaitu kem propresiden, antipresiden serta berkecuali atau bebas.

Ia susulan tindakan Datuk Seri Ismail Sabri yang mengesahkan dirinya tidak bertanding untuk jawatan Naib Presiden UMNO.

Kemudian, satu lagi keputusan dibuat oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Zambry Abdul Kadir yang membuat keputusan menarik diri daripada perebutan jawatan itu.

Penganalisis politik dan Geostrategis, Dr Azmi Hassan berkata kepada Xklusif, keputusan dua pemimpin itu bakal membuka kepada pertembungan tiga puak.

Jelasnya, puak yang pertama ialah mereka yang menyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang anti-Zahid dan kumpulan yang bebas.

Terdahulu, media semalam memetik Pengerusi UMNO Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut menafikan dakwaan sedemikian yang disifatkannya andaian semata-mata. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Back to top button