Aidilfitri: Tol Rahmah percuma 4 hari, cuti tambahan sehari
Pengecualian tol itu adalah bermula esok, 19 April hingga 21 April dan juga pada 24 April nanti.

KUALA LUMPUR 18 April – Kerajaan melaksanakan pemberian Tol Rahmah percuma iaitu pengecualian bayaran tol selama 4 hari untuk dinimkati semua pengguna jalan raya pulang ke kampung halaman masing-masing sempena sambutan Aidilfitri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengecualian tol itu adalah bermula esok, 19 April hingga 21 April dan juga pada 24 April nanti.
“Pelaksanaan Tol Rahmah percuma akan melibatkan 33 lebuh raya bagi semua kelas kenderaan.
“Ikhtiar ini dapat mengurangkan kos bayaran tol bagi rakyat yang akan pulang beraya di kampung halaman masing-masing serta memudahkan perancangan perjalanan balik ke kampung,” katanya dalam sidang akhbar perutusan khas sempena perayaan Aidilfitri, di sini hari ini.
Sementara itu, kerajaan turut bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat untuk membuat perancangan sewajarnya untuk sambutan Aidilfitri dan pulang ke kampung halaman.
Anwar berkata, sekiranya tarikh 1 Syawal 1444H jatuh pada Jumaat, 21 April 2023, maka kerajaan menetapkan hari Isnin, 24 April 2023 sebagai hari kelepasan am tambahan itu.
Walau bagaimanapun, kata beliau, sekiranya tarikh 1 Syawal jatuh pada Sabtu, 22 April, maka hari kelepasan am tambahan adalah pada Jumaat, 21 April.
Beliau menjelaskan, keputusan itu berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Memandangkan pengumuman rasmi berhubung tarikh 1 Syawal 1444H untuk sambutan Aidilfitri akan dibuat pada Khamis, 20 April ini oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, kerajaan bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan.
“Bagi Sabah dan Sarawak, Kerajaan Negeri bolehlah mengisyitiharkan hari kelepasan am pada tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing,” katanya