Berita

Airbnb ‘singkir’ inap desa di KK pasang kamera dalam soket

Airbnb kecewa mendengar insiden itu berlaku

KUALA LUMPUR 26 Sept – Pasukan keselamatan Airbnb mengeluarkan akaun pengendali sebuah inap desa di Sabah sementara menunggu siasatan dakwaan pelancong asing berhubung kamera tersembunyi dipasang dalam soket dinding.

Pengurus Besar Airbnb India, Asia Tenggara, Hong Kong dan Taiwan, Amanpreet Bajaj, dalam e-mel kepada Bernama berkata pihaknya melarang perbuatan sedemikian serta kecewa mendengar insiden itu berlaku.

“Meskipun insiden membabitkan keselamatan jarang berlaku di premis Airbnb, kami mengambil serius laporan sebegini dan kami memberikan sokongan kepada tetamu kami.”

Beliau mengulas laporan Bernama Ahad lalu menyebut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) memandang serius dakwaan pelancong asing terdapat kamera tersembunyi dalam soket dinding di sebuah inap desa.

Menterinya, Tiong King Sing dilaporkan berkata kerajaan Sabah, Motac negeri dan agensi berkaitan diarah mengambil tindakan tegas terhadap dakwaan didedahkan di platform media sosial Xiaohongshu berpangkalan di Shanghai pada 14 Sept lalu sebelum dikongsi portal berita tempatan.

Sementara itu polis turut membuka satu kertas siasatan bagi menyiasat laporan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Mohd Zaidi Abdullah berkata pihaknya menjalankan siasatan kes tersebut berdasarkan Seksyen 509 Kanun Keseksaan, setelah menerima laporan polis daripada pasangan tersebut pada 5.27 petang, 7 Sept lalu.

“Siasatan awal di tempat kejadian telah dijalankan dan rampasan ke atas barang kes telah dibuat, usaha untuk mengenal pasti suspek sedang dilakukan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata pihak polis menafikan telah meminta pengadu untuk memadamkan hantaran yang telah dibuat pengadu di platform medianya.

Katanya orang ramai atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang kes tersebut boleh menyalurkannya kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu DSP Khairul Shah Peri menerusi nombor telefon 011-26691994. – Bernama

Artikel Berkaitan

Back to top button