Dunia

Ajaib, rumah bumbung merah tidak terbakar dalam kebakaran di Hawaii

Pemilik rumah bumbung merah itu turut hairan mengapa rumahnya tidak terbakar

HONOLULU 23 Ogos – Tular gambar di laman sosial menunjukkan ‘keajaiban’ apabila sebuah rumah bumbung merah tidak terbakar walaupun kawasan kejiranan di sekelilingnya musnah akibat kebakaran di Maui dekat Hawaii, Amerika Syarikat (AS).

BBC melaporkan, rumah kayu berusia 100 tahun di Front Street itu masih utuh berdiri biarpun bandar Lahaina musnah, hingga pemiliknya sendiri hairan bagaimana ia boleh berlaku.

Difahamkan, pemilik rumah berbumbung merah itu dalam perjalanan ke Massachusetts ketika mendapat tahu berita kebakaran itu.

Lelaki dikenali sebagai Milikan dan isterinya itu juga menyangka keseluruhan kawasan kejiranan musnah dalam kebakaran.

Ajaibnya, rakaman udara keesokan hari menunjukkan rumah mereka masih utuh.

Berdasarkan laporan BBC, pasangan itu membeli kediaman berusia 100 tahun itu yang pernah menjadi penempatan kakitangan sebuah ladang gula.

Menurut pasangan berkenaan, rumah itu rosak, jadi mereka berusaha untuk membaik pulihnya.

Mereka memberitahu media tempatan yang pengubahsuaian dilakukan menyelamatkan rumah berkenaan.

Antara inisiatif dilakukan adalah menukar bumbung asfalt dengan bahan diperbuat daripada sejenis logam, meletakkan batu sungai di sekeliling rumah dan membuang tumbuhan di sekitar kediaman itu.

Bagaimanapun, tiada satu pun daripada tindakan itu bertujuan untuk menghalang kebakaran.

Menurut laporan media, kira-kira 850 individu masih hilang.

Kebakaran itu memusnahkan sebahagian besar bandar Maui yang bersejarah iaitu Lahaina dan dianggap sebagai bencana alam terburuk dalam sejarah Hawaii. AFP

Artikel Berkaitan

Back to top button